Wadah berita digital Stomp melancarkan laman mikro baru sempena ulang tahunnya yang ke-20.

Laman mikro tersebut bertujuan untuk mengimbau kembali kisah yang telah dimuatnaikkan oleh warga Stomp dan menjadi perbualan hangat masyarakat Singapura.

Antara kategori yang dipaparkan dalam laman itu adalah kisah yang paling mengejutkan, perjumpaan semula yang menyentuh hati, dan kisah yang telah mengubah kehidupan seseorang.

Bagi kategori perjumpaan semula yang menyentuh hati, terdapat beberapa kisah perjumpaan semula antara ahli keluarga atau rakan yang telah lama terpisah, disebabkan perkongsian oleh warga Stomp tentang individu yang lama terpisah itu.

Terbukti, Stomp bukan sahaja merupakan wadah untuk membuat aduan tetapi juga telah merapatkan semula hubungan sesama yang tercinta.

Bagi kategori kisah yang paling mengejutkan, pembaca juga boleh mengundi untuk kisah kegemaran mereka.

Dua kisah yang menerima undian tertinggi akan berpeluang memenangi hadiah daripada jenama itu.

Laman mikro tersebut juga berkongsi tentang visi untuk masa depan apabila menyingkap tentang dua dekad sejak Stomp ditubuhkan.

Dalam satu kenyataan di laman mikronya, Editor Stomp, Cik Joy Fang, berkata:

“Langkah seterusnya adalah untuk menjadikan Stomp lebih menyerlah dan wujud dalam kehidupan seharian di Singapura – dengan meluangkan lebih banyak masa di jalanan, menghasilkan lebih banyak kandungan asli, dan memperkenalkan lebih banyak format serta pengalaman yang interaktif.”

Gabungan itu membawa kekuatan digital yang berteraskan kisah masyarakat Stomp dan semangat kewartawanan TNP untuk menghasilkan wadah yang lebih segar.

Sejak pembaharuan itu, Stomp masih mengekalkan semangat ingin tahu melalui format baru seperti segmen wawancara jalanan Stomp Asks, kewartawanan berasaskan kisah hidup masyarakat, dan penjelasan berita serta isu yang dialami masyarakat.

Usaha ini mencerminkan semangat baru jenama itu untuk kekal berasaskan masyarakat sambil mengetengahkan isu yang relevan dan dekat dengan hati masyarakat.

Mikrosit tersebut juga memaparkan kempen baru Stomp on Wheels untuk mendekati masyarakat di jalanan dalam sebuah jip Suzuki Jimny yang serba merah.

Kempen selama dua bulan itu merupakan usaha unit kewartawanan jalanan bergerak yang menggalakkan orang ramai untuk berkongsi kisah dan keprihatinan mereka bersama wartawan Stomp.

Menurut Stomp, usaha ini akan melibatkan wawancara jalanan dan sembang santai bersama orang ramai di jalanan termasuk kawasan kejiranan.

Orang ramai yang dapat menangkap dan menghantar gambar unit bergerak tersebut kepada Stomp juga berpeluang memenangi hadiah dan baucar.

Kempen tersebut juga akan mengadakan cabaran mingguan di laman Instagram @stompsingapore yang akan tamat pada 1 Ogos.