Bidang kewartawanan boleh digunakan untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu serta kecelikan media dalam kalangan belia.

Ini ditekankan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas tamatnya Kem Wartawan Muda Gen G, anjuran akhbar pelajar BH dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Kem tersebut disertai sekitar 90 pelajar dari 18 sekolah menengah dan diadakan sempena cuti sekolah pada 2 dan 3 Jun di Auditorium SPH Media.

Kata Dr Syed Harun, yang juga Pengerusi MLLPC: “Peserta bukan sahaja diajar bahasa Melayu secara teori tetapi berpeluang untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa itu secara praktikal.

“Melalui aktiviti penulisan atau temu bual dan pelaporan, kita dapati pelajar juga sekali gus menyedari keindahan, keunikan dan kekuatan bahasa Melayu, dan sekali gus kita dapat menyemai benih-benih bagi pelapis wartawan serta tokoh penulisan karya masa hadapan bagi Bahasa Melayu kita.”

Dalam kem tersebut, para pelajar didedahkan kepada kemahiran penulisan berita, teknik fotografi, mengenal pasti berita benar dan palsu, mengenali tanda-tanda media yang dijana AI, penyuntingan video serta kemahiran pembacaan kritikal.

Di samping pembelajaran bahasa, Dr Syed Harun menekankan melalui aktiviti pelaporan, temu bual dan penulisan, pelajar berpeluang belajar menggunakan bahasa sebagai alat untuk menyampaikan kebenaran, membina naratif dan mempengaruhi persepsi masyarakat.

Beliau turut menambah tumpuan kepada literasi atau kecelikan digital dan media adalah tepat pada masanya, memandangkan belia hari ini dibanjiri maklumat dalam talian dan perlu mampu membezakan antara fakta dengan maklumat palsu.

Pada akhir kem ini, Anugerah ‘Bakal Wartawan’ disampaikan kepada Aisha Mohammed Rafique, 15 tahun, dari Sekolah Menengah Bedok South.

Katanya yang membawa pulang piala, sijil dan papan kekunci jenama Logitech: “Sebelum ini saya tidak begitu berminat dalam bidang kewartawanan. Namun begitu, kem ini telah membuka mata saya dan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang dunia kewartawanan.”

Anugerah ‘Influencer (Pempengaruh) Harapan’ pula disandang Dhia Carissa Mohamad Indra, 15 tahun, dari Sekolah Menengah CHIJ St Theresa’s Convent, manakala Anugerah ‘Wartawan Paling Semangat’, pula dimenangi Muhammad Naufal Anaqi Rosli, 15 tahun, dari Sekolah Gan Eng Seng.

Semua penerima anugerah individu dinilai berdasarkan tahap keghairahan serta prestasi mereka sepanjang kem berlangsung.

Selain anugerah individu, terdapat juga anugerah kumpulan yang dinilai berdasarkan penulisan rencana dan penghasilan video.

Satu sidang media simulasi telah diadakan pada 2 Jun bersama pempengaruh media sosial, Cik Nur Alya Roziz, yang dikenali sebagai lycheelahalamak1 di TikTok. Beliau merupakan pengasas jenama penjagaan kulit Lychee Co.

Para pelajar ditugaskan untuk menulis rencana berdasarkan soalan yang dikemukakan semasa sidang media tersebut.

Bagi penghasilan video pula, semua kumpulan dibawa bagi satu lawatan pembelajaran ke Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), di mana mereka diberi pilihan menghasilkan video berkenaan pameran tetap, The Albatross File: Singapore’s Independence Declassified atau The News Gallery: Beyond Headlines.

Tiga kumpulan terbaik yang dinobatkan sebagai pemenang utama adalah juara, Sekolah Menengah Bedok South; naib juara, Sekolah Menengah Perempuan Raffles (RGS); dan pemenang tempat ketiga, Sekolah Menengah Commonwealth.