Akhbar The New Paper (TNP) telah bergabung dengan Stomp di bawah satu laman web yang disegarkan bagi menarik pembaca baru.
Ini di samping mengekalkan gaya kewartawanan berani dan kandungan berasaskan masyarakat kedua-dua jenama berita itu.
Laman berita baru ini akan terus mengekalkan nama Stomp dan menampilkan ciri-ciri seperti tinjauan pembaca dan laporan mendalam.
SPH Media berkata pada 30 Oktober bahawa gabungan ini adalah sebahagian daripada usaha memperbaharui produknya untuk berkhidmat dengan lebih berkesan kepada orang ramai.
“Dengan TNP dilancarkan pada 1988 dan Stomp pada 2006, sudah tiba masanya kami memperbaharui kedua-duanya agar menjadi lebih dekat dengan generasi muda dan menarik pembaca baru,” kata SPH Media, sambil menambah, produk baru itu akan “mempersembahkan perspektif yang baru dan menjadikannya bacaan lebih dinamik yang nyata, lantang dan memberi kesan.”
Versi baru ini menggabungkan kekuatan digital dan semangat yang dipacu masyarakat Stomp dengan kebolehpercayaan editorial serta warisan kewartawanan TNP yang berani dan bermutu, sekali gus menawarkan pengalaman bacaan yang lebih diperkaya dan menarik, lapor The Straits Times.
“Stomp baru ini menyatukan dua warisan gemilang dalam bentuk segar bagi menarik satu generasi baru, tanpa mengabaikan pembaca setia kami,” tambahnya.
Editor laman baru itu, Cik Joy Fang, berkata jenama Stomp dipilih kerana kedudukannya sebagai wadah digital yang sudah semakin kukuh.
Cik Fang kembali ke SPH Media pada April 2025 selepas berkhidmat di SPH Magazines dan My Paper, serta pernah menjadi editor MS News.
Semua kakitangan TNP akan menyertai pasukan Stomp, kata beliau.
Tiada perubahan dalam jumlah keseluruhan kakitangan, sebaliknya pasukan itu “telah diperkuatkan dengan bakat baru.”
Menurut Cik Fang, laman web yang diperbaharui itu akan mempunyai ciri-ciri baru seperti tinjauan dalam artikel, penjana ringkasan kecerdasan buatan (AI), dan ruangan khas untuk cerita paling popular.
Di media sosial seperti Instagram dan TikTok, Stomp akan menampilkan lebih banyak kandungan asli yang memberi tumpuan kepada golongan belia.
Dikenali sebagai wadah untuk penduduk Singapura berkongsi cerita, foto dan video yang dilihat di sekitaran mereka, Stomp akan terus memainkan peranan tersebut.
Cik Fang menambah bahawa laman baru itu turut meneruskan warisan kewartawanan berani TNP melalui bahagian ‘TNP News’, yang meliputi isu tular, trend gaya hidup, hiburan dan sukan.
Bahagian ‘Deep Dive’ pula akan menampilkan laporan penjelasan, profil dan kisah masyarakat yang membincangkan isu semasa dengan keigigihan dan ketegasan yang terkenal dalam akhbar TNP.
Slogan baru ‘Real. Vocal. Impactful.’ menggambarkan matlamat untuk membina “wadah yang dekat dengan hati pembaca, namun diiringi semangat baru” yang juga “berasaskan masyarakat, dilaporkan dengan berani dan dibawa dengan kepercayaan”.
Laman TNP akan ditutup pada 1 Disember 2025. Kandungan lamanya boleh didapati di laman Stomp di bawah ‘TNP News’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg