SILVERSTONE: Lando Norris menjuarai Grand Prix (GP) Britain yang penuh cabaran dan dibasahi hujan di Silverstone pada 6 Julai, mengatasi rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri.
Sementara itu, Nico Hulkenberg dari Sauber meraih tempat ketiga, kali pertama buat pelumba veteran Jerman itu dalam 239 perlumbaan.
Norris disambut dengan sorakan gemuruh daripada para peminat British selepas memenangi perlumbaan di tanah airnya buat kali pertama dan kini hanya ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu kedudukan pelumba, Piastri.
“Ia indah, segala yang saya impikan dan mahu capai – selain kejuaraan dunia, ini yang terbaik,” kata Norris dengan senyuman lebar.
“Dari segi tekanan, ini antara perlumbaan paling mencabar. Oscar berlumba dengan sangat hebat, saya harus beri pujian kerana beliau kekal laju sepanjang masa. Tepukan untuk Oscar atas saingan yang hebat.”
Piastri, yang menamatkan perlumbaan kurang tujuh saat di belakang Norris, terlepas peluang untuk menang selepas dikenakan penalti 10 saat kerana melanggar peraturan keselamatan ketika berada di litar.
Gelombang haba di Britain telah diganti dengan cuaca musim panas yang berubah-ubah, iaitu langit cerah dan hujan lebat. Pelumba terpaksa fokus untuk elak lopak air di litar.
Meskipun cuaca buruk, Norris muncul juara, menambah kemenangan keempat musim ini selepas Austria, Monaco dan Australia.
Lewis Hamilton dari Ferrari menduduki tempat keempat, diikuti Max Verstappen dari Red Bull.
Piastri dikenakan penalti kerana membrek mendadak sebelum kereta keselamatan keluar, keputusan yang mengecewakannya.
“Saya tidak mahu cakap banyak, takut membawa masalah,” kata Piastri. “Rupanya sekarang tak boleh membrek di belakang kereta keselamatan.”
Ketua Eksekutif McLaren, Zak Brown, mengakui penalti terhadap Piastri adalah keputusan yang betul.
“Kereta keselamatan dipanggil agak lewat. Max percepat, Oscar membrek, jadi nampak lebih teruk dari sebenar. Data tak sama dengan TV.
“Penalti macam ni ada unsur subjektif. Mereka membrek kuat untuk panaskan tayar dalam keadaan basah. Keputusan dibuat lewat, memang sukar nak tentukan,” tambahnya.
Bagi Hulkenberg, 37 tahun, ini adalah hari yang bersejarah apabila beliau menaiki podium buat kali pertama sejak menyertai Formula Satu (F1) pada 2010.
“Saya tidak pasti saya benar-benar faham apa yang berlaku,” kata Hulkenberg.
“Rasanya sangat baik dan memang sudah lama saya nantikan. Saya selalu yakin kami mampu melakukannya dan saya ada kemampuan itu dalam diri.
“Perlumbaan ini luar biasa — bermula hampir di belakang sekali lagi, seperti minggu lalu. Keadaannya sangat kacau dan tidak menentu.
“Ia seperti perjuangan untuk bertahan. Kami buat keputusan tepat, pilih tayar yang betul pada masa yang sesuai, dan tiada kesilapan. Memang luar biasa.”
Pelumba veteran Jerman itu naik 16 anak tangga dan akhirnya tamatkan rekod buruknya — paling banyak perlumbaan tanpa menaiki podium dalam sejarah F1. Pada 6 Julai, selepas 239 perlumbaan, beliau berjaya berdiri di atas podium buat kali pertama.
Pierre Gasly (Alpine) menduduki tempat keenam, diikuti Lance Stroll (Aston Martin), Alex Albon (Williams), Fernando Alonso (Aston Martin) dan George Russell (Mercedes) melengkapkan 10 teratas. — AFP, REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg