MONACO: Oscar Piastri mungkin antara pelumba Formula 1 (F1) yang paling tenang dalam sejarah.
Pelumba Australia itu mempamerkan ketenangan yang seolah-olah sebati dengan dirinya.
Beliau tidak pernah mengkritik pesaing, tidak menjerit, dan tidak pernah terpalit kontroversi.
Sifat itu jelas kelihatan sejak beliau mula berlumba di F1 lebih dua tahun lalu.
Kini, selepas tujuh perlumbaan dalam musim yang berpotensi menjadikan impiannya kenyataan pada usia 24 tahun, ketenangan itu menjadi kekuatan utamanya dalam memburu gelaran sulungnya.
Piastri kata semua itu “datang secara semula jadi”, tetapi seperti ramai atlet elit lain, usaha gigih di belakang tabir untuk mengasah bakat itulah yang menjadi kunci pencapaian itu.
“Tapi ada juga usaha untuk kekalkan keadaan itu. Mungkin ia datang sedikit secara semula jadi, tapi saya cuba berada dalam zon yang tenang dan tahu apakah yang berkesan untuk saya.
“Saya masih seorang manusia dan ada emosi, jadi saya perlu kawal semua itu. Itu kekuatan saya,” katanya.
Keperibadian Piastri yang tenang dan humor bersahajanya mula menarik perhatian ramai peminat.
Namun, beliau juga seorang yang sederhana dan tidak terlalu peduli dengan glamor F1.
“Saya hargai semua sokongan yang saya dapat, tapi saya di sini untuk memandu kereta lumba.
“Saya suka berlumba dan suka menewaskan pesaing. Itu matlamat saya.
“Saya rasa saya seorang yang cukup sederhana. Dan, ya, humor saya selamba, dan saya tidak banyak menghiburkan (di luar trek). Tetapi itu merupakan diri saya secara semula jadi,” akui Piastri.
Mentaliti Piastri, sebahagian besarnya, dibentuk sejak beliau terpaksa berjauhan dari rumah untuk mencapai impiannya berlumba di litar F1.
Beliau berhijrah ke Eropah seawal usia 14 tahun.
Ayahnya, Chris, menemaninya selama enam bulan sebelum kembali ke Australia, sementara Piastri pula meneruskan pengajiannya dan menetap di sekolah asrama sekitar England.
Beliau mengakui pengalaman itu menjadikannya “cepat matang kerana telah melalui banyak pengalaman hidup pada usia muda”.
Kini, Piastri mendahului kejohanan dengan kelebihan 13 mata berbanding rakan sepasukan McLaren, Lando Norris, menjelang Grand Prix Monaco pada 25 Mei.
Pada 2024, ia merupakan tahun kebangkitan Piastri apabila beliau mencatat kemenangan pertama di Grand Prix Hungary.
Ia diikuti dengan kemenangan kedua di Azerbaijan, hasil gaya beraninya memandu dan ketepatan yang menjadi ciri khasnya.
Kemahiran memintas lawan dengan tangkas terus membuahkan hasil bagi perlumbaan 2025, termasuk dua aksi memecut dan memintas pelumba lain, yang dianggap terbaik bagi musim ini.
Antaranya adalah aksi berani memintas pemandu handalan, Lewis Hamilton, pada ruang selekoh litar paling mencabar di Melbourne pada waktu hujan mahupun pada suasana berdebu di Arab Saudi.
Ia merupakan langkah penting, yang membolehkannya berada di tempat pertama, mengambil alih kedudukan pelumba Belanda-Belgium, Max Verstappen.
Adakah keperibadiannya yang tenang berkait rapat dengan ketegasannya di litar lumba?
“Dalam beberapa keadaan, macam berbeza pula, kan? Saya tenang tapi cara saya memotong lawan agak agresif. Tapi saya percaya semua itu datang daripada kemampuan untuk kekal tenang dan berfikir dengan jelas,” jawab Piastri.
Walaupun pemandu Red Bull, Verstappen, berjaya mengejutkannya dengan aksi memintas laju di Imola Italy, baru-baru ini, Piastri sudah menunjukkan beliau tidak goyah dengan cara berlumba juara dunia empat kali itu.
Piastri sudah membuktikan beliau layak berlumba di pentas tertinggi.
Beliau berjaya mengambil alih kedudukan pertama daripada Verstappen di permulaan perlumbaan Jeddah, dan sekali lagi di Miami – dengan aksi memintas dari luar, yang memaksa Verstappen menekan brek lewat, membolehkan Piastri memotongnya.
“Secara jujur, mungkin cara saya tidak agresif seperti beliau, tapi memang kami tak jauh beza.
“Max dan saya berlumba dengan cara yang agak sama – sangat lasak dan tanpa memberi laluan kepada orang lain. Kami berdua sentiasa mencabar had kami.
“Tapi saya rasa kami saling menghormati dalam berlumba. Kami tahu apakah yang boleh dijangka, terutama selepas beberapa pertembungan tahun ini (2025),” tambahnya.
Apa yang mengagumkan tentang Piastri dalam gaya perlumbaannya adalah ketajamannya membuat keputusan spontan.
Beliau tidak membazir tenaga. Beliau tidak mengambil langkah yang tidak memanfaatkan, atau mencuba sesuatu tanpa melakukannya dengan penuh keyakinan.
Beliau menunggu dengan tenang, dan ‘menerkam’ apabila masanya tepat. – Agensi berita.
“
“Saya tenang tapi cara saya memotong lawan agak agresif. Tapi saya percaya semua itu datang daripada kemampuan untuk kekal tenang dan berfikir dengan jelas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg