Satu ciri aplikasi perbankan mudah alih baru akan membolehkan pemegang kad DBS dan POSB mengawal siapa yang boleh memasukkan butiran kad mereka ke dalam dompet telefon bimbit, mulai pertengahan Mei.
Langkah tersebut adalah sebahagian usaha bank tempatan untuk menghalang penipu daripada memasukkan maklumat kad yang diperoleh daripada penipuan pancingan data, ke dalam dompet digital mereka - seperti Apple Pay dan Google Pay - bagi tujuan perbelanjaan penipuan, sedang kes sedemikian terus meningkat, kata DBS pada 8 Mei.
Lebih 650 laporan polis telah dibuat pada suku akhir 2024, melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $1.2 juta, kata DBS, yang memetik data polis.
Dengan pelancaran itu, pengguna tidak lagi dapat memasukkan maklumat kad bank ke peranti mereka bagi tujuan pembayaran tanpa sentuh, kecuali mereka mengaktifkan togol “dompet mudah alih” dalam aplikasi perbankan DBS.
Togol tersebut akan ditetapkan pada mod “mati” secara automatik. Selepas diaktifkan, pengguna mempunyai 10 minit untuk memasukkan maklumat kad mereka sebelum suis togol itu dimatikan semula secara automatik, lapor The Straits Times.
“Dengan menghentikan sementara dan secara sengaja (tempoh bagi memasukkan maklumat kad), kami membolehkan pelanggan lebih berwaspada apabila melakukan transaksi,” kata Ketua Perbankan Pengguna DBS Singapura, Encik Calvin Ong.
Terdapat lebih 6.5 juta kad debit dan kredit DBS dan POSB yang digunakan di Singapura.
Sebelum ini, sesiapa sahaja, termasuk penipu, boleh memasukkan maklumat kad yang dicuri ke telefon bimbit mereka, jika mereka juga telah berjaya mencuri kata laluan sekali guna (OTP) pengguna, yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Suis tersebut merupakan tambahan terkini kepada pelbagai ciri kawalan keselamatan dalam aplikasi DBS.
Ciri kawalan keselamatan lain termasuk alat “kunci wang” yang diperkenalkan bank itu pada akhir 2023, yang membolehkan pelanggan mengunci sejumlah wang agar ia tidak boleh dikeluarkan secara digital.
“Sikap berwaspada yang diamalkan secara bersama dengan pelanggan kami, adalah penting dalam memerangi penipuan.
“Kami akan terus meluaskan rangkaian ciri keselamatan yang diuruskan sendiri (oleh pelanggan), serta sumber pendidikan dan acara masyarakat mengenai anti-penipuan, untuk memperkasakan pelanggan kami dalam mengawal keselamatan mereka,” kata Encik Ong.
Bank-bank lain, seperti UOB dan OCBC kini turut melaksanakan langkah kawalan keselamatan yang serupa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg