Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah baru lindungi pengadu kesalahan seksual dari soal siasat tidak wajar

Ketua Hakim: Kes-kes seksual akan didengar satu senarai pakar terdiri daripada hakim berpengalaman dan terlatih khas
Jan 13, 2025 | 6:58 PM
Ketua Hakim Sundaresh Menon (tengah, gambar sisipan) dan ahli-ahli Mahkamah Tinggi pada majlis tahunan di auditorium Mahkamah Tinggi bagi menandakan pembukaan tahun undang-undang.
Ketua Hakim Sundaresh Menon (tengah, gambar sisipan) dan ahli-ahli Mahkamah Tinggi pada majlis tahunan di auditorium Mahkamah Tinggi bagi menandakan pembukaan tahun undang-undang. - Foto ST

Mahkamah pada 13 Januari melaksanakan beberapa langkah baru yang bertujuan melindungi pengadu kesalahan seksual daripada soal siasat yang tidak wajar, di samping memelihara hak tertuduh untuk perbicaraan yang adil.

Badan kehakiman akan merintis penggunaan satu senarai semak pada peringkat praperbicaraan untuk membantu mengenal pasti isu perbalahan yang mungkin diteroka dalam pemeriksaan balas.

Ini akan membolehkan hakim mengetepikan soalan tidak relevan atau menghina pengadu semasa perbicaraan.

Di samping itu, kes-kes yang melibatkan kesalahan seksual tertentu akan didengar oleh satu senarai pakar terdiri daripada hakim berpengalaman dan terlatih khas, lapor The Straits Times.

Langkah-langkah itu diumumkan oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon pada 13 Januari pada majlis tahunan bagi menandakan pembukaan tahun undang-undang.

“Kes-kes ini memerlukan pengendalian yang teliti kerana proses perbicaraannya yang mendatangkan kesan terhadap pengadu dan orang yang dituduh,” jelas beliau.

Pengenalan langkah-langkah itu menyusuli ulasan Ketua Hakim Menon sebelum ini mengenai keperluan bagi hakim mengambil peranan penyeliaan lebih aktif dalam pengurusan kes sedemikian.

Komen itu dibuat dalam alasan kukuh bertulis mengenai keputusan satu kes pencabulan yang dikeluarkan Ketua Hakim Negara pada 3 Disember 2024.

Kes itu melibatkan jurutera perisian berusia 42 tahun, Thangarajan Elanchezhian, yang mencabul seorang remaja berusia 16 tahun dalam sebuah bas pada September 2021.

Rayuan Thangarajan terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan ditolak oleh Ketua Hakim Menon.

Dalam alasan kukuh bertulisnya, Ketua Hakim menetapkan pendekatan yang disyorkan mengenai bagaimana hakim harus menguruskan soal siasat pengadu dalam perbicaraan melibatkan kesalahan seksual.

Beliau berkata walaupun pengadu mesti dilindungi daripada gangguan yang tidak wajar dan tidak sensitif, perlindungan itu mesti seimbang dengan hak tertuduh mencabar keterangan pengadu.

Ketua Hakim Menon mengesyorkan, sebelum perbicaraan bermula, hakim perlu mengadakan persidangan praperbicaraan dengan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengenal pasti isu utama perbalahan.

Pada perbicaraan itu sendiri, hakim perlu menilai sejauh mana setiap soalan atau barisan soalan boleh dibenarkan apabila ia dikemukakan kepada pengadu dalam pemeriksaan balas, katanya.

Ketua Hakim berkata satu barisan soal siasat di mana mangsa cabul berusia 16 tahun itu ditanya mengapa dia tidak mendapatkan bantuan segera apabila insiden itu berlaku, berkemungkinan tidak dibenarkan jika pendekatan yang disyorkan digunakan.

Memberikan responsnya, jurucakap Mahkamah Singapura berkata perintis senarai semak praperbicaraan itu mempraktikkan keperluan pengurusan kes lebih aktif yang dibincangkan oleh Ketua Hakim dalam kes itu.

Jurucakap itu berkata pada masa ini, bagi setiap kes jenayah, pihak-pihak perlu memfailkan senarai semak kepada mahkamah sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum persidangan kes sebelum perbicaraan.

Berdasarkan senarai semak sedia ada ini, pihak-pihak kini akan diminta membincangkan isu-isu fakta dan undang-undang yang mungkin timbul semasa perbicaraan.

Tertuduh yang diwakili peguam juga perlu memberikan maklumat mengenai isu yang dipertikaikan, antara lain.

Pihak-pihak juga perlu memberikan anggaran masa yang mereka perlukan untuk menyoal setiap saksi.

Bagi hakim senarai pakar tersebut, jurucakap itu berkata 23 hakim akan ditugaskan mendengar kes kesalahan seksual tertentu.

Ini terdiri daripada 11 hakim Mahkamah Tinggi dan 12 hakim daerah di Mahkamah Negara.

Di Mahkamah Tinggi, semua kesalahan seksual akan didengar oleh hakim dalam senarai pakar tersebut.

Ini meliputi perbicaraan, sebutan mengaku bersalah, rayuan daripada kes Mahkamah Negara, usul jenayah dan semakan jenayah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg