Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah baru urus gangguan kereta api diuji di stesen MRT Jurong East

Antara langkah termasuk menugaskan lebih ramai kakitangan di stesen, pertingkat langkah urus orang ramai
Sep 16, 2025 | 8:00 PM
Papan tanda pandu arah yang lebih besar dan jelas digunakan di stesen MRT Jurong East semasa simulasi gangguan kereta api.
Papan tanda pandu arah yang lebih besar dan jelas digunakan di stesen MRT Jurong East semasa simulasi gangguan kereta api. - Foto SMRT

Sejak September, langkah pengurusan orang ramai yang baru serta tanda pandu arah sedang diuji di stesen MRT Jurong East bagi meningkatkan kecekapan tindak balas SMRT terhadap gangguan perkhidmatan kereta api.

Langkah ini akan diperkenalkan secara berperingkat ke stesen pertukaran utama lain yang dikendalikan SMRT, kata pengendali kereta api itu, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu hantaran Facebook pada 10 September, SMRT berkata stesen Jurong East, yang merupakan stesen pertukaran paling sibuk di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL), telah meningkatkan langkah untuk menangani gangguan kereta api.

Langkah ini termasuk menugaskan lebih ramai kakitangan di stesen serta mempertingkatkan pengurusan orang ramai, seperti mengerahkan kakitangan di platform kecil yang dinaikkan ketinggiannya.

Mereka juga diberikan jaket keselamatan berwarna terang, batang lampu, wisel, pembesar suara, serta pembesar suara mudah alih yang boleh menyiarkan pengumuman yang telah dirakam.

Dengan peningkatan tersebut, komunikasi di stesen akan menjadi lebih jelas dan para penumpang dapat melihat kakitangan stesen dengan lebih baik, kata SMRT.

Selain itu, isyarat panduan di beberapa perhentian bas boleh dihidupkan dari jauh untuk segera memberitahu pemandu bas tentang pengerahan khidmat bas percuma.

Penambahbaikan lain termasuk tanda pandu arah digital yang memaparkan arahan yang jelas dan menyediakan kemas kini perkhidmatan secara langsung.

Papan tanda besar yang mudah dilihat dari jauh juga akan dipasang di tiang dan jambatan pejalan kaki untuk mengarahkan penumpang ke perhentian bas bagi perkhidmatan bas percuma, antara stesen yang terjejas.

SMRT berkata penambahbaikan ini sangat berguna di kawasan yang terhalang oleh papan sekatan pembinaan yang dipasang untuk kerja-kerja Laluan Daerah Jurong (JRL) yang akan datang.

JRL yang dijadualkan dibuka dalam tiga peringkat dari 2027 hingga 2029, akan meningkatkan ketersambungan di bahagian barat Singapura dan menyokong pembangunan di kawasan Jurong.

Terdapat beberapa gangguan MRT baru-baru ini, termasuk kerosakan tren di NSL pada 14 September, satu lagi kerosakan di laluan yang sama pada 2 September dan kerosakan tren di Laluan Circle (CCL) pada 1 September.

Satu lagi peningkatan yang diuji di stesen Jurong East adalah akses yang lebih baik ke perhentian bas penghubung, dengan tanda arah di Westgate dan penanda laluan yang lebih jelas di jambatan pejalan kaki serta laluan ke perhentian bas.

Pengendali kereta api itu menambah stesen Jurong East akan mempunyai satu pasukan sokongan krisis khusus yang boleh digerakkan dengan segera untuk menyokong kakitangan stesen dalam membantu penumpang semasa kejadian.

SMRT menambah mereka sedang berusaha untuk meningkatkan sistem visual dan pengumuman mereka secara berterusan bagi memastikan panduan yang lebih jelas dan kemas kini tepat pada masanya untuk penumpang semasa gangguan kereta api.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg