Topik diikuti
Pergi ke BHkuLangkah Digital bantu masyarakat kemudi landskap AI, pasti tiada tercicir
Langkah Digital bantu masyarakat kemudi landskap AI, pasti tiada tercicir
Usaha bina kemahiran AI untuk semua lapisan masyarakat
Langkah Digital bantu masyarakat kemudi landskap AI, pasti tiada tercicir
Kemunculan dan kemajuan pesat Kecerdasan Buatan (AI) telah menimbulkan beberapa kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Ini termasuk keresahan mengenai jaminan pekerjaan, serta kegusaran bahawa golongan warga emas mungkin tercicir akibat kepantasan perubahan teknologi tersebut.
Kebimbangan sedemikian antara yang dikongsi oleh Menteri Negara (Kesihatan merangkap Pembangunan Digital dan Informasi), Cik Rahayu Mahzam, ketika ditemui di Pasar Geylang Serai pada 22 Mei sempena acara Pop-Up AI Langkah Digital.
Cik Rahayu, ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, bertemu dengan pelanggan serta peniaga untuk memahami kegusaran masyarakat terhadap perkembangan AI, di samping memperkenalkan wadah bagi membina pemahaman asas mengenai teknologi tersebut.
Bercakap kepada media, Cik Rahayu akur bahawa perkembangan AI sangat meluas dan sukar dielakkan, sehingga cara bekerja dan berinteraksi akan berubah.
“Yang biasanya menjadi isu keresahan masyarakat kita termasuk kehilangan pekerjaan apabila AI diperkenalkan dalam suasana pekerjaan mereka. Mereka risau ia berlaku dengan pantas dan mereka tidak dapat menyediakan diri.
“Warga senja juga sering terasa ketinggalan dalam arus kemodenan dan digital. Pada aspek digital, ramai yang mungkin tidak begitu selesa dengan penggunaannya,” katanya.
Justeru, adalah penting untuk terus mempergiat usaha bagi mendekati lapisan masyarakat secara menyeluruh, demi membantu mereka mempertingkat pemahaman, keselesaan serta kemahiran dalam bidang AI, tegas Cik Rahayu.
“Ia penting untuk kami berikan landasan untuk memahami AI dan penggunaannya. Kemudian, kami perlu membantu membangunkan keyakinan untuk mereka sama-sama menyertai arus AI,” katanya.
Beliau berkongsi bahawa terdapat pelbagai program sedia ada oleh pemerintah yang boleh membantu masyarakat, termasuk keluarga, pekerja, peniaga, golongan senja dan sebagainya.
Siri Pop-Up AI adalah sebahagian daripada Langkah Digital, satu inisiatif M³+ dan diterajui Yayasan Mendaki. Dianjurkan dengan kerjasama rakan sekerja seperti Pejabat Digital Singapura Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, ia bertujuan menyokong gerakan Digital Sepanjang Hayat.
Acara Pop-Up AI pada 22 Mei berjaya mendekati sekitar 100 pengunjung, sekali gus membantu mereka membina keyakinan dan keselesaan dalam menggunakan teknologi AI bagi urusan komunikasi, daya kreatif serta tugasan seharian.
Misalnya, para peserta diajar cara menggunakan fungsi nota suara, atau voice notes, pada peralatan AI ChatGPT untuk mencetuskan idea selain menghasilkan imej menggunakan aplikasi AI. Mereka juga mempelajari cara menggunakan peranti pintar dan meneroka aplikasi telefon yang bermanfaat.
Sejak Langkah Digital dilancarkan pada Januari 2026, lebih 1,000 peserta telah menyertai 25 bengkel berteraskan AI, sekali gus meraih kemahiran praktikal untuk kehidupan seharian, alam pekerjaan dan kerjaya mereka.
Acara Pop-Up pertama yang diadakan di Pasar Geylang Serai pada 16 Mei berjaya menarik penyertaan sekitar 100 orang. Seramai 50 individu itu telah menetapkan keinginan atau mendaftarkan diri untuk mengikuti pelbagai program mempertingkat kemahiran AI.
Menyusuli pendekatan itu yang memberangsangkan, Cik Rahayu menambah bahawa siri Pop-Up AI itu akan diperluaskan kepada serata Singapura, termasuk Tampines, Woodlands dan Marsiling.
Duta Digital oleh Pejabat Digital Singapura juga dikerahkan di beberapa masjid dan kelab masyarakat untuk membina pemahaman asas untuk golongan senja, tambah Cik Rahayu.
Penerapan kemahiran AI dalam kalangan anak-anak muda juga akan diberi perhatian.
Cik Rahayu menampilkan rangkaian profesional yang mahir dalam bidang AI di Mendaki, yang membantu merangka program-program yang sesuai demi memantapkan lagi penguasaan teknologi digital anak-anak muda.
Langkah Digital turut melengkapi usaha lebih luas untuk mendukung pemerkasaan masyarakat terhadap AI, seperti Jawatankuasa Daya Ekonomi yang dipandu Dr Wan Rizal Wan Zakariah and Encik Saktiandi Supaat.
Ini sebahagian usaha Semakan Strategi Ekonomi (ESR) untuk memastikan Singapura terus berdaya saing, mewujudkan pekerjaan yang baik, serta membantu para pekerja untuk terus menimba ilmu seiring dengan perubahan ekonomi yang dicetuskan oleh teknologi.
Selain Langkah Digital, M³+ dan Mendaki akan bekerjasama untuk terus menyediakan kursus AI yang ditanggung sepenuhnya bagi para pelajar, golongan dewasa yang bekerja serta lapisan masyarakat Melayu/Islam yang lebih luas.
Encik Muhammad Syazwan Irwan, 23 tahun, menzahirkan rasa lega setelah diperkenalkan kepada beberapa program AI yang boleh membantunya mencari pekerjaan selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS).
“Saya sedar perkembangan AI tidak boleh dielakkan, jadi saya amat menghargai usaha ini bagi memastikan masyarakat kita dapat maju bersama-sama. Menerusi program sebegini, saya lebih bersedia untuk mengemudi landskap pekerjaan baharu,” kata beliau yang berhasrat meneroka industri penerbangan dan perkilangan.
Pandangan positif turut disuarakan oleh pekerja sektor kewangan, Cik Wan Wardah Mohamed Yunos, 34 tahun.
“Buat masa ini, industri saya belum lagi memperluaskan penggunaan AI, dan saya perlu perlu mengambil inisiatif sendiri untuk mempelajarinyam. Jadi, saya lega terdapat program seperti Langkah Digital supaya masyarakat kita tidak leka dengan arus teknologi,” ujar ibu kepada tiga anak kecil itu.
Bagi Cik Rokiah Abu Bakar, 70 tahun, beliau memilih untuk mendaftarkan diri bagi sesi membina kemahiran asas AI pada Ogos nanti. Walaupun sudah bersara, beliau tetap bersemangat untuk mengikut arus perkembangan teknologi semasa.
“Penting untuk kita terus mempertingkatkan kemahiran diri. Saya tidak mahu ketinggalan di belakang cucu-cucu saya yang jauh lebih mahir menggunakannya,” seloroh Cik Rokiah yang mempunyai enam cucu.
Cik Kamsah Zainal, yang bertugas sebagai Teknisyen Kanan untuk Vantive Manufacturing Pte. Ltd, mulanya ragu-ragu terhadap keberkesanan dan kebahayaan menggunakan AI.
“Pada mulanya, saya agak bimbang untuk berkongsi maklumat peribadi saya dengan sistem AI. Namun, selepas berinteraksi dengan Cik Rahayu, saya kini lebih terbuka untuk cuba memanfaatkannya dalam tugasan seharian saya,” kongsi beliau yang telah bertugas dalam industri perkilangan jentera rawatan selama 37 tahun.
Peniaga Warong Keluarga, Encik Zulfadli Karsadi, juga ingin meneroka bagaimana AI mampu mempertingkat perniagaan mereka setelah diperkenalkan kepada beberapa program Langkah Digital.
