Mendaki terajui program celik AI buat masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki terajui program celik AI buat masyarakat

Jan 27, 2026 | 8:51 PM

Mendaki terajui program celik AI buat masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (empat dari kiri) meninjau laporan yang disiapkan salah satu kumpulan dalam bengkel ‘AI Ready’ anjuran Mendaki di Masjid Kampung Siglap pada 27 Januari.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (empat dari kiri) meninjau laporan yang disiapkan salah satu kumpulan dalam bengkel ‘AI Ready’ anjuran Mendaki di Masjid Kampung Siglap pada 27 Januari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masyarakat Melayu/Islam tidak lama lagi dapat mendalami pemahaman berkenaan proses digitalisasi melalui program baru yang menerapkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan sesuai mengikut konteks.

Dipanggil Langkah Digital, program tersebut adalah inisiatif M Kuasa Tiga (M3) dan diterajui Yayasan Mendaki.

Dalam satu kenyataan pada 27 Januari, Mendaki berkata ia akan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) sebagai permulaan bagi melancarkan lebih daripada 20 kursus latihan dan acara bersangkutan AI untuk kakitangan dan sukarelawan masjid serta pertubuhan itu pada 2026.

Ia kemudian akan dilanjutkan kepada masyarakat Melayu/Islam secara umum.

Program tersebut diumumkan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, buat kali pertama di Masjid Kampung Siglap pada 27 Januari.

Turut hadir di acara itu ialah antara lain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber dan Ketua Eksekutif (CE) Muis, Encik Kadir Maideen.

Cik Rahayu hadir sebagai tetamu terhormat di bengkel ‘AI Ready’ yang diadakan buat julung-julung kali bagi sekitar 40 sukarelawan dan kakitangan Masjid Kampung Siglap, Masjid Al-Ansar dan anggota program Wanita Di Tempat Kerja (W@W) Mendaki, antara lain.

Bengkel itu dikendali oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Semasa menggulungkan bengkel tersebut, Cik Rahayu berkata adalah penting bagi masyarakat Melayu/Islam agar sentiasa peka dengan perkembangan AI dan teknologi digital.

Oleh demikian, adalah penting bagi golongan masyarakat dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan agar AI dan teknologi saling melengkapi pekerjaan dan kehidupan harian, kata beliau.

“AI dan teknologi digital sedang meluntur kehidupan harian dengan begitu pesat. Oleh demikian, penting bagi masyarakat Melayu/Islam untuk menerima perubahan sedemikian.

“Kami bermula dengan badan-badan Melayu/Islam termasuk masjid-masjid untuk memperkasakan (kakitangan) mereka.

“Harapannya adalah mereka dapat meneruskan keinginan mendalami AI kepada masyarakat umum di luar masjid,” tambahnya.

Beliau berkata program tersebut ditumpukan kepada masyarakat atau ‘community centric’ bagi memastikan lebih ramai dalam kalangan masyarakat kenal apa itu AI, menggunakan AI dalam kehidupan harian dan sekali gus dapat membina keyakinan terhadap penggunaan teknologi secara berterusan.

Sentimen sedemikian dikongsi Pengerusi Eksekutif Masjid Kampung Siglap, Encik Azman Mohd Ariffin, yang telah menghantar hampir seluruh kakitangannya bagi bengkel tersebut.

Menurut beliau, penting untuk memanfaatkan teknologi baru, termasuk penggunaan AI, dalam sesebuah proses pekerjaan – lebih-lebih lagi bagi operasi pengendalian masjid.

Malah dengan penerapan AI dan teknologi dalam urusan pekerjaan, ia dapat meningkatkan kecekapan kakitangan dan sesebuah proses, katanya.

“Sudah tentu tenaga kerja dapat memperoleh ilmu, tetapi lebih daripada itu, mereka dapat terapkan kepada pekerjaan harian.

“Misalnya sebelum ini, kakitangan mungkin perlu membaca manual atau buku bersangkutan sumber manusia.

“Tetapi dengan penerapan teknologi dan AI, kegunaan buku tersebut boleh dibuat melalui wadah digital dan ia lebih mudah untuk merumuskan sesebuah isi kandungan buku tersebut,” katanya.

Salah seorang peserta bengkel, Cik Rosdiana Alias, berkata penggunaan AI dapat meningkatkan produktiviti dan membantu dalam urusan pekerjaan harian.

Pengurus Kanan Masjid Kampung Siglap berusia 47 tahun itu menambah lebih daripada ilmu penggunaan AI, bengkel tersebut memberikan beliau kesedaran betapa penting peningkatan kemahiran secara konsisten perlu untuk kekal relevan dalam era teknologi digital.

Beliau berkata: “Motivasi saya menyertai bengkel AI ini adalah untuk memperkasa diri (dalam teknologi dan AI).

“Ia juga dapat meningkatkan produktiviti, misalnya apabila saya menyiapkan laporan, kerana dapat menggunakan aplikasi AI bagi membantu dalam beberapa isi kandungan laporan tetapi saya masih perlu semak kesahihan kandungan itu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg