Yayasan Mendaki mengesahkan semula komitmennya untuk menyokong pekerja dalam ekonomi yang dipacu kecerdasan buatan (AI) demi memastikan tiada individu yang ketinggalan, tatkala pekerjaan kini kian berubah.

Badan itu menyatakan demikian berikutan usul yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, di Parlimen pada 5 Mei dan telah diterima sebulat suara oleh Anggota Parlimen (AP) pada 6 Mei.

Usul bertajuk, ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ itu tertumpu pada pembentukan sistem data setempat bagi membimbing dan memberikan maklumat kepada syarikat dan pekerja mengenai peranan kerja yang sedang berubah, kemahiran serta peluang pekerjaan baru yang tersedia.

Ini di samping memastikan pertumbuhan yang menggunakan AI bersifat adil, berdaya tahan dan memberi peluang kepada semua, di tengah-tengah usaha negara memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan AI.

Dalam satu kenyataan pada 6 Mei menyusuli penggulungan usul tersebut, Mendaki menyatakan ia akan mengutamakan usaha bersifat terangkum merentasi pelbagai golongan pekerja Melayu/Islam.

Badan bantu diri itu menambah bahawa ia akan bekerja rapat dengan rakan kongsi tiga pihak untuk menyelaraskan pembangunan kemahiran dengan keperluan industri yang baru dan peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, berkata:

“Mendaki akan terus menyokong masyarakat Melayu/Islam dalam menerapkan kemahiran AI dan digital melalui daya usaha seperti, ‘Ready At Work’ dan Langkah Digital M³+.

“Sejak Januari 2026, lebih 1,000 peserta telah meraih manfaat daripada 25 bengkel dan penglibatan yang tertumpu pada AI, memperoleh kemahiran digital dan AI yang praktikal merangkumi (program) literasi asas, pelaksanaan AI di tempat kerja dan kesediaan kerjaya.”

Mentelah, badan itu menyatakan dapatan awal Penyelidikan Kecekapan AI yang dilaksanakan Mendaki mendapati kebimbangan tinggi dalam kalangan pekerja terhadap pemberhentian kerja yang didorong oleh AI.

Penyelidikan itu melibatkan lebih 100 pekerja Singapura, dengan hampir separuh (47 peratus) pekerja Melayu/Islam menyatakan mereka bimbang diberhentikan kerja disebabkan AI.

Kesedaran mengenai kesan AI terhadap pasaran buruh adalah kukuh, dengan 76 peratus responden percaya pekerja yang tidak belajar menggunakan AI akan ketinggalan, manakala 65 peratus menjangkakan pekerja yang mahir dalam AI akan meraih pendapatan lebih tinggi.

Sungguhpun demikian, hasil dapatan awal itu mendapati hanya 45 peratus atau kurang separuh daripada responden menjalani latihan berkaitan AI secara proaktif – sekali gus menunjukkan kebarangkalian wujudnya jurang antara kesedaran dengan pengambilan tindakan.

Mendaki berkata ia akan memperkukuhkan lagi usaha membina tenaga kerja untuk pekerja Melayu/Islam dengan memperdalam pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kemahiran dalam kecekapan digital dan AI.

Ini akan dilakukan melalui latihan yang mudah diakses dan sokongan bagi peralihan kerjaya, tambah Mendaki.

Sehubungan itu, Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), dalam kenyataannya pada 6 Mei berkata ia menyokong penubuhan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) yang baru diluluskan di Parlimen dan usul yang diketengahkan Encik Ng pada 5 Mei.

Menurut Snef, penubuhan SWDA dan penerimaan usul tersebut merupakan langkah penting dan tepat pada masanya demi “memperkukuh daya tahan tenaga kerja dan perusahaan Singapura”, di tengah-tengah perkembangan penggunaan AI secara pesat dalam pekerjaan, perniagaan dan ekonomi.