Platform media sosial di Singapura tidak lama lagi akan diwajibkan melaksanakan langkah keselamatan yang lebih kukuh bagi melindungi kesihatan mental pengguna remaja.

Perubahan perundangan akan dibentangkan awal 2027 bagi memudahkan penguatkuasaan ciri-ciri keselamatan menerusi semakan umur.

Ciri-ciri keselamatan yang sedang dipertimbangkan termasuk had masa harian serta sekatan terhadap menatal tanpa henti, fungsi main semula automatik dan mesej langsung (DM) daripada orang tidak dikenali.

Berikut adalah langkah lain yang telah diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi melindungi ruang dalam talian yang digunakan secara aktif oleh pengguna, termasuk golongan muda.

1. Akta Keselamatan Dalam Talian (Pelega dan Akauntabiliti) (2025)

Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), yang mula beroperasi awal Jun lalu, merupakan saluran utama bagi mangsa dalam talian untuk mendapatkan ganti rugi menerusi perintah pemadaman kandungan.

Fokus awal suruhanjaya itu tertumpu kepada gangguan dalam talian, doxing iaitu pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran, penghendapan dalam talian, penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej. 

Mangsa boleh membuat laporan terus di laman web OSC di www.osc.gov.sg

2. Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian (2023, 2025)

Pada 2023, Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian mula berkuat kuasa, mewajibkan platform media sosial yang ditetapkan — Facebook, Instagram, YouTube, X, TikTok dan HardwareZone — untuk menangani kandungan berbahaya menerusi garis panduan masyarakat dan langkah moderasi kandungan.

3. Akta Kemudaratan Jenayah Dalam Talian (2023)

Di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha), pemerintah boleh mengeluarkan arahan dan perintah bagi menyekat dan mengehadkan pendedahan pengguna Singapura kepada aktiviti jenayah di platform dalam talian.

Pihak berkuasa boleh menyiasat dan mendakwa mereka yang melanggar undang-undang di bawah Ocha atau Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada denda atau hukuman penjara.

4. Remedi sivil di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan

Digubal pada 2014, matlamat Akta Perlindungan Daripada Gangguan (Poha) adalah untuk melindungi mangsa gangguan, menghendap, buli siber dan perbuatan lain yang boleh berlaku dalam talian atau di dunia sebenar.

Mangsa gangguan boleh membawa pesalah ke mahkamah menerusi tindakan sivil bagi mendapatkan gantirugi kewangan serta memohon perintah perlindungan. Mahkamah boleh mengarahkan pemadaman maklumat dalam talian yang palsu atau dianggap sebagai gangguan.