Menyedari bagaimana usaha menjaga alam sekitar boleh dilakukan secara mudah dan praktikal – seperti bergotong-royong memungut sampah, mengitar semula atau mengurangkan sisa – Encik Iswandie Wanhar, 47 tahun, mengambil langkah menyediakan wadah bagi penduduk di kawasan kejiranannya.

Encik Iswandie, seorang sukarelawan masyarakat dan bekas jurutera pesawat sebuah syarikat kejuruteraan tempatan, menubuhkan Tampines West Green Action for Communities pada 2023 bagi menggalakkan penduduk terlibat dalam usaha menjaga alam sekitar melalui tindakan yang mudah dan boleh dilakukan oleh semua.

Menerusi wadah tersebut, penduduk dapat berkumpul setiap bulan untuk menyertai pelbagai kegiatan dan inisiatif berkaitan alam sekitar.

Atas usahanya memupuk kesedaran dan tindakan berkaitan alam sekitar, Encik Iswandie merupakan antara 14 individu yang menerima Anugerah EcoFriend daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di bawah kategori Sukarelawan Akar Umbi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, sempena edisi ke-17 majlis anugerah dwitahunan itu yang diadakan di Galeri Nasional Singapura pada 18 Ogos.

Memberitahu Berita Harian (BH), Encik Iswandie berkata antara perkara paling menggembirakannya ialah melihat penduduk yang pada mulanya menyertai kegiatan sebagai peserta, namun, akhirnya tampil menggalas peranan sebagai penggerak alam sekitar.

Beliau teringat tentang anak seorang jiran yang pernah mendekatinya dan bertanya bagaimana beliau boleh menyertai kumpulan tersebut.

“Ia benar-benar menunjukkan bahawa inisiatif ini sudah berubah daripada sekadar satu kegiatan kepada sesuatu yang mereka sendiri (ada) rasa bertanggungjawab untuk lakukan,” ujar beliau.

Sejak ditubuhkan, Tampines West Green Action for Communities, telah melibatkan lebih 1,000 penduduk menerusi pelbagai kegiatan termasuk memungut sampah, aktiviti kitar semula, kerja pembersihan serta sesi pembelajaran mengenai alam sekitar.

Kumpulan tersebut kini mempunyai sekitar 30 anggota, termasuk 10 anggota teras, dengan peserta merangkumi pelbagai peringkat umur – daripada pelajar sekolah menengah hingga warga emas berusia 70-an dan 80-an tahun.

Bagi beliau, usaha menjaga alam sekitar tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan khusus atau bergelar ‘juara alam sekitar’.

“Kita tidak perlu menjadi juara. Lakukan sahaja sesuatu yang mudah dan praktikal seperti memungut sampah, belajar tentang kitar semula dan mengurangkan sisa, dan kita boleh melihat kesannya dengan serta-merta,” tambahnya.

Antara daya usaha yang dijalankan ialah Clean Pod di Rangkaian Penduduk Tampines Park dengan sokongan Majlis Kebersihan Awam.

Kemudahan itu menyediakan peralatan mudah seperti baldi dan penyepit yang boleh penduduk gunakan untuk menjalankan kegiatan memungut sampah secara sukarela.

Dalam kegiatan memungut sampah secara besar-besaran, peserta turut didedahkan kepada jenis sampah yang lazim ditemui di kawasan kejiranan serta barangan yang boleh atau tidak boleh dikitar semula.

Menurut beliau, penerangan seperti itu penting supaya penduduk bukan sekadar menyertai kegiatan untuk membersihkan kawasan, bahkan membawa pengetahuan tersebut pulang ke rumah dan berkongsi dengan keluarga, rakan sekerja serta anggota masyarakat lain.

Pengalaman beliau dalam bidang latihan di syarikatnya turut membentuk pendekatannya terhadap usaha tersebut.

Beliau telah berkhidmat selama 26 tahun di syarikat itu sebagai jurutera pesawat dan tenaga pengajar, dan kini mengetuai bidang latihan.

Menurutnya, pengetahuan dan kemahiran penting untuk membolehkan seseorang melakukan tugas dengan baik serta mempengaruhi orang lain.

Justeru, anggota yang menjadi penggerak alam sekitar turut diberi kemahiran dalam bidang komunikasi, manakala anggota baharu dipasangkan dengan anggota yang lebih berpengalaman.

Kumpulan tersebut turut bekerjasama dengan sekolah bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar.

Bagi Encik Iswandie, usaha mendidik generasi muda turut dekat di hati beliau.

Beliau sering membawa anak perempuannya yang berusia 11 tahun, Nur Farhana Iswandie, bersamanya ketika menjalankan kegiatan sukarelawan.

Teringat satu kejadian ketika membawa anaknya ke pasar raya, apabila beliau meminta beg plastik daripada seorang pekerja, anaknya menegur beliau kerana meminta beg tersebut.

Bagi Encik Iswandie, teguran itu menunjukkan bahawa nilai menjaga alam sekitar yang dikongsinya bersama anaknya sudah mula diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Pada usia ini, kanak-kanak seperti span, mereka menyerap maklumat daripada kita,” katanya.

Beliau berharap nilai seperti tanggungjawab, semangat memberi kembali kepada masyarakat dan menghargai alam sekitar dapat terus diterapkan dalam kalangan generasi muda.

Beliau juga berasa terharu apabila melihat anggota kumpulan membawa botol air dan bekas makanan sendiri ketika menghadiri kegiatan makan bersama, sebagai tanda keprihatinan terhadap alam sekitar.

Program utama kumpulan itu, EcoFest, yang telah dianjurkan selama tiga tahun berturut-turut, turut menerima sambutan yang semakin meningkat daripada penduduk, sekolah dan agensi.

Mengulas tentang pengiktirafannya, Encik Iswandie berkata anugerah itu bukan sekadar untuk dirinya, bahkan mencerminkan usaha sukarelawan dan penduduk yang telah menyokong perjalanan kumpulan tersebut.

“Saya benar-benar berbesar hati dan terharu. Ia bukan tentang saya sahaja, tetapi pengiktirafan untuk pasukan dan masyarakat.

“Anugerah ini adalah milik semua yang telah menyokong perjalanan kemampanan ini,” katanya.