Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah permudah pelanggan banding harga di pasar raya

Harga unit barang harian akan dipapar mulai lewat 2025 bagi pelanggan buat keputusan beli termaklum di bawah projek rintis Case, CCCS
Mar 15, 2025 | 8:30 PM
Harga paparan bagi produk runcit yang biasa dibeli seperti beras, minyak masak serta buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar raya utama tidak lama lagi akan menunjukkan kosnya dalam satu kilogram atau satu liter, kongsi Persatuan Pengguna Singapura (Case) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) dalam satu kenyataan bersama pada 15 Mac sebagai sebahagian daripada projek rintis.
Harga paparan bagi produk runcit yang biasa dibeli seperti beras, minyak masak serta buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar raya utama tidak lama lagi akan menunjukkan kosnya dalam satu kilogram atau satu liter, kongsi Persatuan Pengguna Singapura (Case) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) dalam satu kenyataan bersama pada 15 Mac sebagai sebahagian daripada projek rintis. - Foto fail

Harga unit, atau setiap kilogram atau liter, barang harian seperti beras, minyak masak, buah-buahan dan sayuran-sayuran di pasar raya utama akan turut ditunjukkan tidak lama lagi.

Sebagai contoh, bagi sebotol minyak masak lima liter yang dijual pada harga $20 harga seliternya, iaitu $4, akan turut dipaparkan.

Ini bertujuan membantu pengguna membandingkan harga barang dengan lebih mudah tanpa mengambil kira jenama atau saiz bungkusan barang tersebut.

Ia diumumkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) dalam satu kenyataan bersama pada 15 Mac.

Case dan CCCS berkata mereka sedang bekerjasama dengan pengendali pasar raya utama sempena projek rintis itu dan harga barang yang mempunyai maklumat tambahan itu akan disediakan di pasar raya NTUC FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong dan Prime terpilih menjelang lewat 2025.

CCCS juga akan berhubungan dengan firma tinjauan pasaran bagi mendapatkan maklum balas daripada pengguna berkenaan manfaat dan cara paparan bagi harga unit itu.

Dalam ucapannya di majlis jamuan malam bagi rakan kongsi Case pada 15 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata menunjukkan harga unit bagi sesebuah produk membolehkan pengguna membandingkan dengan lebih mudah harga produk daripada jenama berbeza dan yang dijual dalam bungkusan saiz berbeza.

“Ini akan memberikan pengguna maklumat harga yang boleh dibandingkan, untuk menjadi panduan apabila mereka membuat keputusan untuk membeli sesuatu,” ujar Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Presiden Case, Encik Melvin Yong, berkata: “Penetapan harga unit membantu pengguna melihat gimik yang menetapkan harga dengan cepat dan mudah. Ia juga merupakan alat yang berguna untuk menangani ‘shrinkflation’ (mengurangkan saiz barangan sementara menjualnya pada harga sama).

“Saya berbesar hati bahawa pemerintah menyahut seruan bagi melaksanakan projek rintis penetapan harga unit di pasar raya utama.”

Ketua Eksekutif CCCS, Encik Alvin Koh, berkata penetapan harga unit dapat membantu pengguna “memilih produk berbaloi dengan harga” dan secara tidak langsung menggalak perniagaan bersaing dalam memberikan harga lebih baik kepada pengguna.

CCCS dan Case menyatakan di bawah projek rintis itu, pengguna dapat mencuba penggunaan harga unit bagi produk runcit yang telah dinyatakan, seperti beras, dan memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka.

Pengendali pasar raya utama pula boleh menguji cara berbeza untuk memaparkan harga unit bagi memastikan maklumat itu disampaikan dengan jelas kepada pengguna.

Mengulas mengenai projek rintis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sheng Siong Group Ltd, Encik Lim Hock Chee, berkata inisiatif harga unit itu menggalak pengguna dan pelanggan membandingkan harga produk dengan mudah, di samping memberi ketelusan pada harga.

“Dengan penetapan harga unit, kami percaya pelanggan kami boleh membuat pilihan termaklum dan memanfaatkan penjimatan bagi perbelanjaan mereka,” ujarnya.

Perkara serupa turut dikongsi CEO Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, yang berkata projek itu membantu pelanggan dan pengguna membuat keputusan lebih termaklum.

Beliau berkata: “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pemerintah dalam projek rintis ini, dan yakin ia membolehkan kami memberikan nilai dan kemampuan lebih besar kepada pelanggan.”

Dua tahun lalu, Case memperkenalkan paparan harga mengikut harga unit untuk lebih 1,200 barangan makanan menerusi aplikasi Price Kaki. Buat masa ini, lebih 6,000 barangan menunjukkan harga unit di aplikasi tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg