Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah seterusnya untuk M³: Kaji hasil, semak program

Masagos: M³ mula kaji program Bersamamu yang bimbing pasangan muda
Oct 13, 2024 | 5:30 AM
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, bentangkan kemajuan dan pencapaian M³ sepanjang lima tahun lalu dalam satu sidang media pada 10 Oktober.
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, bentangkan kemajuan dan pencapaian M³ sepanjang lima tahun lalu dalam satu sidang media pada 10 Oktober. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kajian akan dijalankan untuk menilai dan mengukur impak dan keberkesanan program serta daya usaha M Kuasa Tiga (M³), sedang inisiatif itu kini mencapai lima tahun sejak ia diperkenalkan.

Ini dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa sidang media pada 10 Oktober untuk berkongsi kemajuan dan pencapaian M³ sejak gerakan itu kali pertama diumumkan pada 2018.

M³ menggembleng tenaga tiga institusi utama – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) – dalam membantu mempertingkat masyarakat Melayu/Islam.

Encik Masagos berkata hasil sebenar inisiatif dan program M³ “mestilah kesan daripada apa yang kita lakukan”, sambil menambah bahawa pihak M³ sudah pun memulakan kajian ke atas beberapa program yang mana kesannya boleh diukur.

Misalnya, kajian jangka panjang akan dijalankan bagi program Bersamamu untuk menilai dan mengukur kesannya terhadap perkahwinan dalam masyarakat.

Antara program M³ ialah Bersamamu melibatkan kadi dan naib kadi yang menjadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka. (Dari kiri) Cik Nurul Syafiqah Mohamad Zailani dan Encik Muhammad Alfi Muhammad Ramli beramah mesra dengan naib kadi mereka, Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid, (dua dari kanan) dan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad selepas ceramah Bersamamu Hingga Ke Surga yang diadakan di bawah siri Bersamamu Forums @ the Heartlands pada 28 September.
Antara program M³ ialah Bersamamu melibatkan kadi dan naib kadi yang menjadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka. (Dari kiri) Cik Nurul Syafiqah Mohamad Zailani dan Encik Muhammad Alfi Muhammad Ramli beramah mesra dengan naib kadi mereka, Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid, (dua dari kanan) dan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad selepas ceramah Bersamamu Hingga Ke Surga yang diadakan di bawah siri Bersamamu Forums @ the Heartlands pada 28 September. - Foto fail

Program tersebut, melibatkan kadi dan naib kadi sebagai sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka, telah memberi manfaat kepada hampir 30,000 pasangan sejak dimulakan pada 2019.

“Buat masa ini, kami (M³) menumpukan pada proses, tetapi dalam tempoh lima tahun mendatang dan seterusnya, kami mahu mengukur hasilnya,” kata beliau.

“Satu contoh ialah program Bersamamu, yang akan dibentangkan di Persidangan Keluarga Asia pada November untuk mempamerkan inisiatif, kerjasama dan sinergi masyarakat kita dalam menangani masalah yang berlaku di seluruh dunia, di mana kadar perceraian semakin meningkat dan orang tidak mahu berkahwin kerana mereka rasa tiada sokongan.

“Dan kami mahu menunjukkan bahawa terdapat cara lain untuk menangani masalah ini,” kata beliau.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Berkongsi pencapaian M³ sepanjang lima tahun lalu, Encik Masagos berkata gerakan itu telah mewujudkan sinergi, kerjasama dan rujukan silang antara tiga agensi ‘M’ tersebut, yang membolehkan perkhidmatan dan sokongan disampaikan dengan lebih lancar kepada masyarakat Melayu/Islam.

Ini juga dipacu oleh visi Masyarakat Gemilang, untuk membina sebuah masyarakat Melayu/Islam Singapura yang moden, progresif dan terbuka kepada perubahan dan menjadi contoh kepada golongan minoriti lain di dunia.

Meskipun terdapat cabaran pada mulanya, ditambah pula dengan cabaran pandemik Covid-19, Encik Masagos berkata setiap agensi ‘M’ itu telah berganding bahu untuk mengenal pasti masalah utama yang perlu ditangani dalam masyarakat, dengan program dan inisiatif diadakan berdasarkan lima bidang tumpuan utama.

Lima bidang itu ialah menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.

“Saya gembira bahawa melalui inisiatif dan sinergi pelbagai pihak, terutama Muis, Mendaki dan Mesra, dan juga dengan kerjasama agensi lain kami telah dapat mencapai skalanya (dalam mendekati masyarakat).

“Untuk lima tahun seterusnya, kami akan melihat pada impak dan hasil, dan akan menyemak proses sekiranya impaknya bukan apa yang kami inginkan,” kata beliau.

Sidang media pada 10 Oktober itu, turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, membentangkan pencapaian program dan daya usaha M³ yang diterajui Muis.

Agensi M³ yang lain dijangka berkongsi pencapaian dan kemajuan daya usaha dan program yang diterajui mereka pada minggu depan.

Dr Faishal berkata melalui gerakan M³, Muis dengan sokongan agensi dan rakan-rakan telah melakukan pelbagai kegiatan untuk memperkukuh rumah tangga dan keluarga, serta menyokong banduan dan keluarga mereka.

Antaranya, Program Pendamping Fitrah, telah berjaya mendapatkan sekitar 500 sukarelawan sejak 2019, dengan 243 daripada mereka dikerahkan secara aktif dan dilatih.

Relawan memberikan sokongan emosi dan sosial kepada banduan.

Sementara itu, lebih 3,200 pasangan telah menerima pakej sumber di bawah Projek Arif – kerjasama antara Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Muis, AMP dan Yayasan Temasek – sejak ia dilancarkan pada 21 Mac 2021.

Pakej tersebut merangkumi buku panduan kesihatan untuk ibu dan anak serta Pakej Kehamilan Arif yang termasuk khidmat konsultasi doktor dari KKH.

“Kami akan melihat pada cara memperkukuhkan sebahagian komponen program dan perkara yang boleh kami pelajari untuk melakukan dengan lebih baik lagi supaya dapat menyediakan sokongan kepada pasangan dan keluarga,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg