Demi menyokong pengambilan pekerja warga emas, bekas pesalah dan golongan kurang upaya, pemerintah akan melanjutkan Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC), Kredit Peningkatan Pekerjaan (UEC) dan Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC).
Menjelaskan demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata:
“Lebih ramai warga emas yang memilih untuk terus bekerja, sedang penduduk Singapura semakin menua.
“Pemerintah ingin bekerjasama dengan majikan bagi memanfaatkan pengalaman dan kebijaksanaan warga emas yang mampu dan ingin sambung bekerja.”
Lantas, majikan yang mengambil pekerja warga emas Singapura, berumur 60 tahun dan ke atas, dan berpendapatan kurang daripada $4,000 sebulan, akan diberi pengimbangan gaji melalui SEC yang akan dilanjutkan hingga 31 Disember 2026.
Sejajar dengan tambahan usia pengambilan pekerja semula kepada 69 tahun pada 2026, pemerintah juga akan meningkatkan kelayakan umur bagi meraih peringkat sokongan pendapatan SEC tertinggi kepada 69 tahun, daripada 68 tahun, mulai 2026.
Justeru itu, majikan akan menerima sehingga tujuh peratus daripada gaji yang mereka bayar kepada pekerja berusia 69 tahun dan ke atas.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga akan mengadakan Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerjaan Warga Emas pada 2025, untuk mengkaji semula dasar pekerjaan warga emas secara menyeluruh.
Encik Wong berkata: “Kumpulan kerja ini akan mengkaji semula dasar pekerjaan warga emas, secara jangka panjang dan menyeluruh, bagi meningkatkan kebolehpasaran warga emas, dan meningkatkan ketersediaan pekerjaan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
“Selaras dengan cadangan Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Lanjut Usia, kami akan meneruskan langkah seterusnya, iaitu rancangan menaikkan kadar caruman CPF untuk pekerja warga emas.”
Oleh itu, kadar caruman CPF pekerja warga emas yang berusia 55 tahun ke atas sehingga 65 tahun, akan dinaikkan sebanyak 1.5 mata peratusan pada 2026.
Peningkatan dalam kadar caruman tersebut akan diperuntukkan sepenuhnya kepada Akaun Persaraan CPF dalam membantu pekerja warga emas menabung lebih untuk persaraan.
Bagi mengurangkan kos perniagaan yang disebabkan oleh peningkatan tersebut, pemerintah akan menyediakan majikan dengan Imbangan Peralihan CPF selama setahun.
Ia bersamaan dengan separuh daripada kenaikan pada 2026 dalam kadar caruman CPF majikan, bagi setiap pekerja Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang diambil untuk bekerja, berusia 55 tahun ke atas sehingga 65 tahun.
Selain itu, Encik Wong berkata Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC) juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.
EEC menyediakan pengimbangan gaji kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan kurang upaya berusia 13 tahun ke atas, dan berpendapatan di bawah $4,000 sebulan.
Ia juga menyokong inisiatif di bawah Pelan Induk Pemerkasaan 2030 untuk membuka lebih banyak peluang bagi orang kurang upaya menyertai tenaga kerja.
“Kami akan memberikan lebih banyak sokongan untuk majikan, yang mungkin bimbang tentang kos dan usaha yang diperlukan dalam mereka bentuk semula pekerjaan dan menyesuaikan tempat kerja mereka.
“Khususnya, kami akan melanjutkan EEC hingga akhir 2028, bagi mengimbangi gaji untuk orang kurang upaya,” ucap Encik Wong.
Menurutnya lagi, pekerjaan adalah penting bagi penyepaduan semula bekas pesalah ke dalam masyarakat.
“Bagi menggalakkan majikan memberi peluang kedua kepada bekas pesalah, kami telah memperkenalkan Kredit Peningkatan Pekerjaan (UEC), yang memberikan pengimbangan gaji kepada majikan yang mengambil bekas pesalah.
“Tahun lalu (2024), kredit itu telah menyokong hampir 700 majikan dalam pengambilan lebih 1,500 bekas pesalah,” ujar Encik Wong.
Beliau mengumumkan UEC akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.
UEC menyediakan pengimbangan gaji kepada majikan yang menggajikan bekas pesalah tempatan yang berpendapatan di bawah $4,000 dan dibebaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum mula bekerja.
Lanjutan UEC ini akan terus menyediakan pengimbangan sebanyak sehingga 20 peratus daripada gaji bekas pesalah tempatan untuk tempoh sembilan bulan pertama pekerjaan, dihadkan pada $600 sebulan, bagi setiap pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg