Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lanjutan Laluan Downtown fokus pada kelestarian alam sekitar

Laporan Kajian Alam Sekitar diterbit bagi mendapat maklum balas untuk lindungi habitat sensitif
Jan 6, 2025 | 8:11 PM
Lakaran artis laluan penghubung berbumbung dari jambatan kenderaan ke stesen MRT DE1.
Lakaran artis laluan penghubung berbumbung dari jambatan kenderaan ke stesen MRT DE1. - Foto LTA

Kerja pembinaan untuk Lanjutan Laluan Downtown Dua (DTL2e), dijangka bermula pada suku keempat 2025, akan menerapkan langkah-langkah bagi melindungi habitat sensitif di sepanjang Koridor Kereta Api itu.

Langkah tersebut termasuk membina koridor hidupan liar untuk memastikan laluan haiwan yang selamat semasa pembinaan dan seterusnya.

“Satu Pelan Pemantauan dan Pengurusan Alam Sekitar akan dilaksanakan, dengan langkah-langkah untuk mengurangkan impak alam sekitar akibat kerja pembinaan.

“Ini termasuk penyediaan koridor hidupan liar sepanjang Koridor Kereta Api semasa pembinaan bagi membolehkan pergerakan fauna diteruskan, serta pemantauan berkala ke atas habitat sensitif oleh ahli ekologi untuk pengurusan mudah suai,” kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media pada 6 Januari.

LTA juga berkongsi bahawa Kajian Alam Sekitar untuk DTL2e telah selesai, dan laporan mengenai kajian tersebut akan diterbitkan pada Januari 2025 bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.

Dalam kajian tersebut, mereka telah melibatkan dan berunding dengan kumpulan alam sekitar untuk memastikan bahawa kesan terhadap alam sekitar dapat dikurangkan.

Stesen-stesen baru ini – DE1, dan stesen pertukaran kereta api NS6/DE2 – akan meningkatkan akses ke kawasan barat laut Singapura. Pada masa ini, stesen tersebut diberikan nama kod.

Lakaran artis stesen pertukaran kereta api NS6/DE2.
Lakaran artis stesen pertukaran kereta api NS6/DE2. - Foto LTA

Bagi stesen DE1, ia terletak di aras bawah tanah di sepanjang Sungei Kadut Avenue, berhampiran Yew Tee Village.

Sebuah lagi stesen DTL, iaitu DE2, akan dibina di Sungei Kadut Central, yang berfungsi sebagai stesen pertukaran yang akan menjadi penghubung ke stesen atas tanah Laluan Utara-Selatan (NSL).

Stesen NSL itu akan berada di antara stesen Yew Tee dengan Kranji yang sedia ada.

Selain itu, stesen baru itu akan menawarkan penumpang perhubungan yang lebih lancar ke Laluan Utara-Selatan (NSL) dan kawasan Singapura yang lain.

Misalnya, penumpang dalam perjalanan dari Yew Tee Village ke Chinatown dijangka dapat menjimatkan masa sehingga 20 minit dalam masa perjalanan.

Bagi mereka yang ingin ke Sungei Kadut Central dari Bukit Panjang, mereka dapat menjimatkan masa sehingga 30 minit dalam masa perjalanan.

Lanjutan Laluan Downtown (DTL) ke Sungei Kadut akan dibuka pada 2025
Lanjutan Laluan Downtown (DTL) ke Sungei Kadut akan dibuka pada 2025 - Grafik BH oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Dalam usaha untuk mencapai matlamat pengangkutan yang lebih mampan dan berkesan, LTA menjelaskan bagaimana projek ini menyokong sasaran jangka panjang negara untuk menyediakan akses lebih mudah kepada rangkaian kereta api.

“Bersama dengan pengembangan rangkaian kereta api lain dalam dekad yang akan datang, DTL2e akan membawa kita selangkah lebih dekat ke sasaran Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP) 2040.

“Ia adalah untuk memastikan 8 daripada 10 isi rumah berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki ke stesen kereta api menjelang tahun 2030-an,” kongsi LTA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg