Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia usul idea bantu gelandangan, jaga kucing masyarakat

Antara idea ‘hackathon’ yang bertujuan bangunkan huraian kreatif kepada cabaran masyarakat
Aug 13, 2025 | 7:28 PM
Encik Danial Afkar Kurniawan, Cik Rachel Tai Ke Jia , Cik Xin Suen Ong, cik Li Ling Tan, Hackathon Sparks x Build for Good 2025
Encik Danial Afkar Kurniawan (kiri) dan anggota pasukannya Cik Rachel Tai Ke Jia (dua dari kiri), Cik Xin Suen Ong (dua dari kanan) dan Cik Li Ling Tan (kanan) di acara ‘Hackathon Sparks x Build for Good 2025’. Di tengah ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau. - Foto ihsan DANIAL AFKAR

Setelah menonton dokumentari mengenai gelandangan di Singapura, Encik Danial Afkar Kurniawan tergerak untuk melakukan sesuatu demi memudahkan golongan ini mendapat tempat perlindungan.

Pelajar tahun ketiga dalam jurusan Sains Komputer di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu kemudian membangun idea bagi menghasilkan aplikasi baru dalam acara ‘Hackathon Sparks x Build for Good 2025’ yang telah berlangsung di Heartbeat Bedok baru-baru ini.

Projek pasukannya menumpukan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pekerja sosial menilai dokumen penting seperti penyata kewangan dan surat undang-undang dengan lebih pantas.

“Ramai gelandangan menghadapi proses permohonan yang rumit dan panjang. Dengan aplikasi kami, dokumen boleh diekstrak dan dibaca dengan lebih cekap, mempercepatkan proses mendapatkan tempat perlindungan,” jelas Encik Danial, 24 tahun.

‘Hackathon Sparks x Build for Good 2025’ pada 12 Julai lalu itu merupakan kerjasama pertama antara Persatuan Rakyat (PA) dan Open Government Products (OGP) dalam menganjurkan acara bertemakan masyarakat.

Acara inisiatif teknologi sosial itu bertujuan membangunkan penyelesaian kreatif kepada cabaran masyarakat setempat.

Ia dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, Cik Josephine Teo; Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; serta Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.

Pasukan Encik Danial yang terdiri daripada tiga jurutera dan seorang pengurus produk turut menjalankan perbincangan rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta pengendali tempat perlindungan sementara S3Ps (Safe Sound Sleeping Places).

Mereka pada awalnya merancang membina sebuah papan pemuka (dashboard) digital menyerupai alat pengurusan projek seperti JIRA, khusus untuk menjejak permohonan gelandangan. 

Namun, hasil sesi pembentangan dan bengkel bersama MSF, mereka dimaklumkan tentang kewujudan sistem dalaman yang serupa bernama Case Connect.

“Rupanya sudah ada sistem seperti itu. Jadi kami perlu ubah pendekatan dan cari jalan untuk melengkapkan, bukan menggantikan, sistem sedia ada,” kata beliau, yang menyifatkan perubahan arah itu sebagai satu cabaran penting dalam proses inovasi.

Sementara itu, Cik Nur Sabirah Mohd Arif, 22 tahun, lulusan diploma Komunikasi dan Media dari Politeknik Singapura, tidak mempunyai latar belakang teknikal, menyertai ‘hackathon’ untuk keluar dari zon selesanya.

Kumpulannya bertujuan untuk mempertingkatkan lagi penjagaan kucing masyarakat di kawasan Boon Lay, berikutan peningkatan laporan kes penderaan haiwan.

“Kami membangunkan aplikasi untuk menyelaras penjagaan kucing oleh sukarelawan di Boon Lay, supaya prosesnya lebih sistematik dan mudah diakses,” ujar beliau.

Pasukan Cik Nur Sabirah Mohd Arif (tengahi) bersama anggota pasukannya (dari kiri) Encik Reyes Soh, Lee Jia En, Cik Hung Jing Wen dan Encik Shawn Yap.
Pasukan Cik Nur Sabirah Mohd Arif (tengahi) bersama anggota pasukannya (dari kiri) Encik Reyes Soh, Lee Jia En, Cik Hung Jing Wen dan Encik Shawn Yap. - Foto ihsan NUR SABIRAH

Kerjasama dengan Rangkaian Belia Boon Lay, yang turut terlibat dalam inisiatif penjagaan kucing, membolehkan pasukan Cik Sabirah memahami lebih mendalam keperluan komuniti setempat.

Walaupun pada awalnya melalui fasa ‘imposter syndrome’ atau kurang yakin dengan pencapaian sendiri, Cik Sabirah mengakui pengalaman ini membuka matanya bahawa seseorang tanpa latar belakang teknikal masih mampu memberi sumbangan bermakna.

“Semua idea, walaupun kecil, tetap penting. Apa yang penting ialah kita faham keperluan masyarakat dan berusaha membantu,” katanya.

Bagi Encik Danial pula, ‘hackathon’ kali ini berbeza daripada apa yang pernah disertainya sebelum ini kerana tumpuan bukan sekadar kepada teknologi, malah pemahaman mendalam terhadap masalah masyarakat.

Kedua-dua peserta menekankan pentingnya menyelami masalah masyarakat sebelum mencipta sebarang penyelesaian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg