Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Lantai tidak rata di luar stesen MRT Shenton Way tidak bahaya’

May 18, 2025 | 7:12 PM
MRT Shenton Way, mendap
Sebahagian kawasan pejalan kaki di luar stesen MRT Shenton Way telah mendap kira-kira 5 sentimeter, menyebabkan permukaan tidak rata. - Foto ST

Permukaan pejalan kaki tidak rata di pintu masuk stesen MRT Shenton Way mungkin disebabkan oleh pemendapan semula jadi tanah dan tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap struktur atau keselamatan pengguna, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada 17 Mei.

The Straits Times (ST) mendapati pada 6 Mei bahawa sebahagian kawasan pejalan kaki di luar stesen itu telah mendap dengan ketara – sedalam kira-kira lima sentimeter. 

Pengendali stesen, SMRT turut menampal notis amaran tentang permukaan tidak rata itu pada tiang berhampiran salah satu pintu masuk stesen berkenaan.

Menjawab pertanyaan media, LTA berkata pihaknya mengetahui tentang masalah di pintu masuk 1 dan 2 stesen berkenaan sejak akhir 2024.

“Kami telah menilai bahawa stesen tersebut, termasuk pintu-pintu masuk yang terlibat, kekal selamat dari segi struktur untuk operasi kereta api dan penumpang,” jelas LTA.

LTA berkata ia telah bekerjasama dengan SMRT bagi melaksanakan langkah keselamatan, termasuk memasang tanda dan pita amaran sementara.

LTA juga sedang berbincang dengan BCA bagi mencari penyelesaian jangka panjang, yang akan melibatkan kajian kejuruteraan dan siasatan terperinci pada tanah.

Dalam kenyataannya, jurucakap BCA berkata permukaan tidak rata itu “berkemungkinan disebabkan oleh pemendapan semula jadi tanah”. 

Proses yang berlaku secara beransur-ansur ini adalah perkara biasa di kawasan yang mempunyai tanah laut lembut, seperti Pembentukan Kallang (Kallang Formation) – iaitu sebuah lapisan geologi yang terdiri daripada tanah liat, kelodak dan pasir yang ditakungi air, dan lazimnya dijumpai di kawasan tambak atau pesisiran pantai.

“Kawasan laluan pejalan kaki yang terjejas terletak di atas tanah dan sedang mendap secara berperingkat bersama tanah lembut di bawahnya,” tambah jurucakap itu. 

“Pintu masuk stesen itu disokong oleh asas yang lebih kukuh dan kekal tidak terjejas.”

BCA turut menyatakan bahawa pemendapan seperti ini lazimnya berlaku secara beransur-ansur dan “tidak menimbulkan sebarang kebimbangan mendadak dari segi keselamatan struktur”.

Pihak BCA sedang memantau keadaan itu dan bekerjasama dengan LTA untuk melaksanakan kerja pembaikan di kawasan yang terjejas.

Stesen MRT Shenton Way yang terletak di Kawasan Pusat Bandar (CBD) dibuka pada November 2022 sebagai sebahagian daripada Laluan Thomson–East Coast (TEL).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg