Topik diikuti
Pergi ke BHkuLapor awal bantu polis jejak, beku dana penipuan
Lapor awal bantu polis jejak, beku dana penipuan
Lebih awal mangsa tampil membuat laporan, lebih besar kemungkinan polis dapat menjejaki dan membekukan dana sebelum ia terus dipindahkan dan jatuh ke tangan penipu.
Sebaliknya, kelewatan membuat laporan boleh menyebabkan wang dipindahkan ke luar Singapura, sekali gus menyukarkan usaha menjejaki dan mendapatkannya semula.
Demikian antara cabaran utama yang dikongsi penyiasat kanan Cawangan Siasatan Antipenipuan di Jabatan Siber Pasukan Polis Singapura (SPF), Inspektor Harbhajan Kaur.
Jabatan Siber SPF, yang mula beroperasi pada Julai 2026, mempunyai sekitar 280 pegawai setakat ini dan jumlah itu dijangka ditambah kepada 400 pada masa akan datang, menurut SPF.
Ini termasuk pegawai penyiasat awam seperti Encik Muhammad Syazwan Suhaimi yang bertugas dalam bidang mata wang kripto.
Bercakap kepada media, Inspektor Kaur berkata:
“Cabaran utama masih bergantung pada seberapa cepat mangsa membuat laporan. Jika mangsa melaporkannya sebaik sahaja penipuan berlaku, kami masih mempunyai masa untuk bertindak.
“Tetapi jika laporan dibuat lewat, pemindahan wang mungkin sudah meninggalkan Singapura. Apabila itu berlaku, usaha menjejaki dana menjadi lebih sukar,” katanya.
Antara tugas pegawai seperti Inspektor Kaur ialah menyiasat pelbagai jenis penipuan, mengenal pasti rangkaian penipu, mematahkan kegiatan mereka serta menjejaki dan mendapatkan semula hasil jenayah.
Dalam kes yang melibatkan penyerahan wang secara fizikal, laporan awal juga boleh membolehkan polis bertindak dengan lebih pantas.
“Misalnya, jika mangsa baru sahaja menyerahkan wang tunai kepada seseorang dan kemudian berasa tidak sedap hati, mereka boleh terus menghubungi polis.
“Dari situ, kami boleh mendapatkan bantuan pegawai risikan untuk meneliti rakaman CCTV di tempat penyerahan wang itu berlaku. Pegawai kami juga boleh digerakkan dengan segera. Jadi, tindakan boleh dilakukan dengan sangat pantas,” tambahnya.
Menurut Inspektor Kaur, gabungan fungsi siasatan, operasi dan risikan di bawah Jabatan Siber turut mempercepat perkongsian maklumat.
Sebelum ini, katanya, mungkin terdapat sedikit kelewatan apabila pegawai perlu mendapatkan maklumat daripada unit lain sebelum tindakan seperti pembekuan akaun bank dapat dilakukan.
Kini, maklumat boleh dikongsi dengan lebih cepat dengan pegawai risikan dan operasi, sekali gus mempercepat tindakan susulan.
Pendekatan itu selaras dengan matlamat Jabatan Siber untuk membawa usaha menentang penipuan dan jenayah siber ke peringkat lebih awal, termasuk menyekat ancaman sebelum ia sampai ke Singapura, seperti yang dinyatakan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, semasa pelancaran jabatan itu pada 11 Mei.
Perkembangan itu berlaku sedang jumlah kes penipuan dan jenayah siber secara keseluruhan mencatat penurunan pada separuh pertama 2026, menurut laporan SPF.
Namun, Inspektor Kaur menegaskan bahawa usaha membendung penipuan tidak boleh bergantung pada tindakan polis semata-mata.
“Mesej paling penting ialah kesedaran diri terlebih dahulu. Orang ramai perlu mempunyai kesedaran supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan.
“Jika mereka menjadi mangsa, kami akan melakukan apa yang kami mampu untuk membantu, termasuk dalam usaha mendapatkan semula wang jika masih boleh,” katanya.
Selepas hampir tiga dekad berkhidmat di SPF, Inspektor Kaur berkata tugas itu kekal bermakna apabila campur tangan polis dapat membantu mengurangkan kerugian mangsa.
“Bagi mangsa yang kami tidak dapat membantu mendapatkan semula wang mereka, ada yang memberitahu bahawa sekurang-kurangnya kami berjaya menghalang mereka daripada kehilangan lebih banyak wang,” katanya.
