Satu badan teknikal antara pemerintah yang membangunkan dan mempromosikan dasar untuk melindungi sistem kewangan global, mengesahkan bahawa Singapura mempunyai rangka kerja dan proses yang teguh serta berkesan untuk menangani isu kewangan.

Ini merangkumi aspek pengubahan wang haram (ML), pembiayaan pengganasan (TF) dan pembiayaan percambahan (PF).

Pengesahan tersebut diterbitkan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) pada 6 Mei.

FATF mendapati bahawa antara lain, Singapura mempunyai struktur tadbir urus dan rangka kerja undang-undang yang teguh untuk menangani risiko tiga hal itu.

Ia turut disokong oleh mekanisme penyelarasan dan kerjasama operasi yang kuat.

Keputusan itu diperoleh hasil daripada pusingan kelima proses Penilaian Bersama (ME) FATF, di mana Singapura ialah antara beberapa negara pertama yang menjalaninya.

Keputusan pusingan penilaian itu meletakkan Singapura di bawah Susulan Biasa – satu proses yang harus dilalui anggota FATF yang telah menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam satu kenyataan bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 6 Mei, FATF mendapati bahawa Singapura mempunyai pemahaman risiko ML/TF/PF yang baik rentas agensi.

Ini termasuk di antara agensi pemerintah di sini dan juga antara entiti berkepentingan dalam mencegah pengubahan wang haram dan penentangan pembiayaan pengganasan dan senjata.

Mereka turut disokong kerjasama teguh antara pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta, serta rakan sejawat antarabangsa.

Selain itu, Singapura turut mempunyai sistem penyeliaan yang teguh dengan juga menumpukan pada entiti tersebut, tambah kenyataan itu.

Mereka dikira sebagai perniagaan dan karyawan yang bertindak sebagai “penjaga pintu” kepada sistem kewangan seperti institusi kewangan, penyedia perkhidmatan aset maya, serta perniagaan dan profesion bukan kewangan.

Kenyataan itu menambah: “Singapura mempunyai sistem penguatkuasaan undang-undang yang kukuh bagi menyokong penyiasatan dan pendakwaan, termasuk penggunaan perisikan kewangan berkesan, keupayaan pemulihan aset kuat serta kerjasama antarabangsa.”

Keputusan penilaian yang berlangsung dari 2020 hingga Julai 2025 itu merupakan satu peningkatan berbanding keputusan pusingan keempat Singapura pada 2016.

Pusingan kelima itu memberi penekanan lebih besar terhadap keberkesanan sistem setiap negara, yang dinilai berdasarkan profil risiko dan konteks negara masing-masing.

Singapura merupakan antara beberapa negara pertama yang menjalani penilaian pusingan kelima, selepas Belgium dan Malaysia.

Ketika tempoh tersebut, kes besar yang berlaku ialah pengubahan wang haram bernilai $3 bilion pada 2023.

Dalam Penilaian Bersama yang diterbitkan FATF pada 6 Mei, badan itu berkata kes pengubahan wang haram yang terbesar di sini menunjukkan kekuatan keupayaan pemulihan aset Singapura dan menunjukkan betapa menariknya Singapura kepada golongan penjenayah.

Laporan itu menyatakan bagaimana kes tersebut menyumbang sebanyak 47 peratus daripada $6.3 bilion nilai rampasan dari 2020 hingga 2024.

Hal itu menunjukkan kekuatan Singapura dalam aspek pemulihan aset.

Laporan itu juga menonjolkan bagaimana pihak polis berjaya menguruskan jumlah barangan mewah yang banyak, termasuk beg tangan dan kereta, serta mampu memelihara integriti bahan bukti dan nilai barangan tersebut.

FATF menyatakan bahawa kes itu menunjukkan Singapura mampu mengendalikan kes pengubahan wang haram yang rumit secara berkesan serta meruntuhkan rangkaian jenayah terancang yang canggih.

Singapura sudah menjadi anggota FATF sejak 1992, yang mempunyai 40 anggota.

Badan tersebut menetapkan piawaian antarabangsa – dikenali sebagai Piawaian FATF – bagi memastikan pihak berkuasa negara dapat memburu dana haram yang dikaitkan dengan pengedaran dadah, perdagangan senjata haram, penipuan siber serta jenayah berat lain secara berkesan.

Anggota FATF dinilai secara berkala melalui semakan rakan sejawat atau dikenali sebagai Penilaian Bersama dan proses susulan untuk menentukan serta memantau tahap pematuhan mereka terhadap Piawaian FATF menerusi 11 bidang.

Sementara itu, walau institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan aset maya Singapura secara amnya menunjukkan kesedaran yang baik terhadap risiko pembiayaan percambahan (senjata), kesedaran risiko boleh dipertingkatkan dalam sektor tertentu yang secara tradisinya tidak menjadi tumpuan FATF, seperti pejabat perwakilan bagi negara bendera asing.

Laporan itu mendapati bahawa pejabat asing tersebut menunjukkan “pemahaman yang sangat rendah” terhadap peraturan berkaitan pembiayaan pengganasan dan pembiayaan percambahan.

Singapura telah menjalankan lebih 11,000 siasatan pengubahan wang haram dan 126 siasatan pembiayaan keganasan sepanjang tempoh penilaian lima tahun tersebut, yang disifatkan oleh FATF sebagai “jumlah yang sangat besar”.

Namun, laporan itu menyatakan bahawa tumpuan negara terhadap kesalahan di dalam negaranya sendiri – walaupun wajar – mempunyai kesan yang terhad dalam memburu organisasi dari luar negara yang menyasarkan rakyat Singapura.

Sebagai sebuah hab penubuhan syarikat dan pengurusan kekayaan, Singapura didapati mempunyai “pemahaman yang baik” tentang bagaimana syarikat yang ditubuhkan secara domestik boleh disalahgunakan.

Namun, ia mempunyai “pemahaman yang lebih terhad” terhadap risiko yang dikaitkan dengan pengaturan undang-undang, syarikat asing yang tidak berdaftar, dan struktur yang kompleks.