Pengguna dalam talian Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, boleh mendapat manfaat daripada mengetahui rangka kerja keselamatan sedia ada yang disediakan syarikat media sosial dalam memastikan keselamatan dalam talian mereka terjaga, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada 17 Februari selepas pelancaran pertama, Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian mengenai Perkhidmatan Media Sosial yang Ditetapkan (DSMS), di Pusat Media Nasional, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Hill Street.
Laporan itu dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 17 Februari dan merupakan usaha terkini pemerintah dalam meningkatkan keselamatan dalam talian bagi pengguna Singapura.
Ia melibatkan wadah media sosial seperti Facebook, HardwareZone, Instagram, TikTok, X dan YouTube.
Satu tinjauan MDDI pada 2024 mendapati dua pertiga responden atau 66 peratus, menemui kandungan berbahaya dalam DSMS, namun mereka tidak melaporkannya, kongsi Cik Rahayu.
Beliau menambah: “Laporan penilaian keselamatan dalam talian memberikan satu set metrik yang sama bagi wadah khidmat media sosial dan kita dapat melihat di mana wujudnya jurang dan bagaimana kita dapat memperbaikinya.
“Selain itu, orang awam termasuk ibu bapa juga dapat melihat rangka keselamatan sedia ada yang telah diterapkan oleh perkhidmatan media sosial tersebut.
“Orang awam boleh mendapatkan maklumat dan membuat keputusan yang lebih menyeluruh kerana mereka tahu keadaan dan struktur keselamatan yang wujud.”
Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian IMDA mendapati bahawa DSMS telah melaksanakan langkah keselamatan untuk semua pengguna secara luas, menurut satu kenyataan IMDA pada 17 Februari.
Langkah itu termasuk mengadakan garis panduan masyarakat, penyederhanaan kandungan, alat untuk pengguna mengawal keselamatan dan sumber keselamatan yang berpangkalan di Singapura.
Namun, langkah tambahan perlu diambil dalam meningkatkan keberkesanan bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dan tidak sesuai dengan umur mereka, tambah IMDA.
Justeru, ibu bapa, anggota keluarga serta guru-guru juga boleh memainkan peranan dalam memantau penggunaan dalam talian kanak-kanak dan belia, ujar Cik Rahayu.
Menjawab soalan wartawan mengenai kandungan radikal dalam talian, beliau turut menambah, laporan yang dikeluarkan adalah “satu permulaan dan hanya sebahagian aspek dalam usaha berbilang pendekatan bagi memastikan masyarakat terpelihara daripada ideologi-ideologi yang kurang selamat”.
Mengenai dua aspek laporan IMDA itu membantu, Cik Rahayu berkata:
“Dengan adanya satu rangka keselamatan yang khusus untuk masyarakat Singapura, kita dapat membentuk cara dalam memastikan kita memberi perhatian terhadap perkara yang mungkin menjadi kebimbangan khusus untuk masyarakat kita.
“Kedua, ia juga mendorong syarikat media sosial dalam memastikan apa yang boleh mereka terus perbaiki dan pelajari daripada rakan akademik dan juga wakil industri yang lain.
“Kita harus terus melakukan usaha yang berbeza dalam memastikan keselamatan yang lebih menyeluruh dalam masyarakat,” kongsi Cik Rahayu.
Dengan adanya perbincangan jujur dengan syarikat media sosial, dalam usaha memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka, Cik Rahayu berkata penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mampan boleh dilaksanakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg