Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Perumahan awam S’pura kekal mampu milik, mudah dibeli

Oct 2, 2024 | 5:43 PM
Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), sebahagian besar pasaran jualan semula kekal dalam jangkauan pembeli.
Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), sebahagian besar pasaran jualan semula kekal dalam jangkauan pembeli. - Foto ST

Perumahan awam di Singapura kekal mampu milik dan mudah dibeli seperti dinilai dua laporan perumahan antarabangsa, menurut kenyataan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 2 Oktober.

Penilaian itu dikeluarkan walaupun data terkini menunjukkan peningkatan dalam harga flat jualan semula pada suku ketiga 2024 yang meningkat 2.5 peratus disebabkan permintaan yang kukuh di tengah-tengah keadaan bekalan yang masih ketat. 

The Business Times (BT) melaporkan pada 1 Oktober bahawa purata harga flat jualan semula meningkat 2.9 peratus kepada $629,856. 

Pada 2023, Singapura berada di kedudukan ke-11 dalam kalangan 94 pasaran perumahan utama untuk kemampuan – meningkat daripada tempat ke-47 pada tahun sebelumnya – berdasarkan laporan Kemampuan Perumahan Antarabangsa Demografia edisi 2024.

Laporan itu menekankan bahawa flat perumahan awam terus kekal mampu milik, dan Singapura mempunyai kadar pemilikan rumah tertinggi hampir 90 peratus.

Ia menilai kemampuan perumahan dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana di 94 pasaran perumahan utama di lapan negara – Australia, Canada, China, Ireland, New Zealand, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Gandaan median, ukuran harga rumah kepada pendapatan, untuk jualan semula flat HDB adalah 3.8, merosot daripada 5.3 pada 2023.

Median itu bertambah baik selepas pembeli rumah kali pertama menerima geran perumahan dan subsidi, kata laporan tersebut. 

Sementara itu, Institut Tanah Bandar (ULI) meletakkan flat di Singapura sebagai perumahan awam yang mudah dibeli merentasi 48 bandar di 11 negara di rantau Asia-Pasifik termasuk Australia, India, Indonesia dan Jepun.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa harga median flat HDB adalah 4.7 kali ganda daripada pendapatan median isi rumah.

Menurut ULI, pemilikan rumah dianggap mampu milik apabila nisbah harga rumah median kepada pendapatan isi rumah tahunan median adalah di bawah angka 5.

Sebagai perbandingan, catuan harga rumah median berbanding median pendapatan isi rumah tahunan berjulat antara 25 dengan 32 kali di bandar lain seperti Beijing, Manila, Ho Chi Minh City dan Shenzhen.

Dalam kenyataan yang sama, HDB berkata “sebahagian besar pasaran jualan semula kekal dalam jangkauan pembeli” dan “flat dengan harga jualan semula yang sangat tinggi daripada bahagian yang sangat kecil daripada semua transaksi jualan semula”.

“Dalam tempoh 1.5 tahun lepas, flat bernilai jutaan dolar hanya menyumbang 2 peratus daripada jumlah transaksi flat jualan semula.

“Antara urus niaga flat jualan semula empat bilik dengan yang lebih kecil, kurang daripada 0.5 peratus telah diurus niaga melebihi sejuta dolar,” tambah HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg