Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan awal SQ321: Penumpang cedera apabila pesawat jatuh mendadak

May 29, 2024 | 5:01 PM
Beberapa penumpang yang tidak menggunakan tali pinggang keledar tercampak dan jatuh semula apabila pesawat SQ321 mengalami pergolakan udara ekstrem.
Beberapa penumpang yang tidak menggunakan tali pinggang keledar tercampak dan jatuh semula apabila pesawat SQ321 mengalami pergolakan udara ekstrem. - Foto REUTERS

Pesawat yang jatuh secara mendadak – 178 kaki dalam 4.6 saat – kemungkinan mengakibatkan penumpang dan anak kapal pesawat SQ321 tercedera, menurut siasatan awal penerbangan Singapore Airlines itu (SIA).

Ketinggian 178 kaki ialah setinggi bangunan 16 tingkat.

Siasatan awal itu memperincikan rentetan peristiwa semasa penerbangan termasuk perubahan tidak dijangka kepada ketinggian, laju udara atau airspeed, serta perubahan mendadak kepada daya graviti.

Demikian antara dapatan awal pasukan penyiasat bagi kemalangan melibatkan pesawat SQ321 yang dikongsi Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 29 Mei.

Pasukan penyiasat terdiri daripada penyiasat daripada Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) dan wakil Amerika Syarikat daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) serta Boeing.

Mereka melakukan analisis awal berdasarkan data yang didapati daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) SQ321.

Menurut pasukan tersebut, pesawat SQ321 berlepas dari London pada 20 Mei 2024 dan penerbangan adalah normal sebelum berlaku peristiwa gelora udara.

Pada sekitar 7.49 pagi pada 21 Mei, pesawat tersebut terbang di atas selatan Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki dan berkemungkinan terbang di atas kawasan di mana sedang berlaku perolakan atau convective activity.

Daya graviti dirakam turun naik selama sekitar 19 saat yang menyebabkan pesawat mengalami sedikit getaran.

Pada masa yang sama, berlaku peningkatan ketinggian pesawat tidak dijangka, mencapai puncak 37,362 kaki.

Sebagai respon kepada peningkatan ketinggian pesawat yang tidak diarahkan itu, autopilot menurunkan semula pesawat ke ketinggian yang telah ditetapkan iaitu 37,000 kaki.

Menurut pasukan siasatan, peningkatan ketinggian pesawat yang tidak diarahkan itu kemungkinan besar berlaku ke atas pesawat akibat ‘updraft’ atau pergerakan udara ke atas.

Juruterbang juga mendapati terdapat peningkatan laju udara yang tidak dijangkakan, mendorong mereka menggunakan brek kelajuan.

Sementara menguruskan kelajuan udara, juruterbang membuat pengumuman bahawa tanda tali pinggang keledar telah dinyalakan.

Hanya 8 saat kemudian, pesawat mengalami perubahan pesat dalam daya graviti dalam tempoh 0.6 saat. Ini kemungkinan menyebabkan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke atas.

Daya graviti berubah lagi, menyebabkan penumpang yang telah tercampak itu jatuh semula.

“Perubahan pantas dalam daya graviti dalam tempoh 4.6 saat mengakibatkan penurunan ketinggian 178 kaki, daripada 37,362 kaki kepada 37,184 kaki. Urutan kejadian berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada anak kapal dan penumpang,” jelas MOT.

Di tengah-tengah urutan perubahan pantas dalam daya graviti itu, data yang direkodkan menunjukkan bahawa juruterbang memulakan input kawalan untuk menstabilkan pesawat dan berhenti menggunakan autopilot dalam proses ini.

Juruterbang mengawal pesawat secara manual selama 21 saat dan kemudian menggunakan semula autopilot.

Setelah dimaklumkan oleh anak kapal bahawa terdapat penumpang yang cedera, juruterbang membuat keputusan mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, dan dalam perjalanan ke sana telah meminta perkhidmatan perubatan segera menunggu ketibaan pesawat.

Sekitar 17 minit setelah kejadian gelora udara itu, juruterbang melakukan daratan normal dan terkawal dari ketinggian 37,000 kaki.

Data menunjukkan bahawa pesawat SQ321 tidak mengalami pergolakan udara lebih teruk lain semasa lencongan ini, dan mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada sekitar 8.45 pagi.

Dalam pada itu, SIA dalam kemas kininya berkata hingga 5.30 petang 29 Mei, seramai 42 penumpang SQ321 masih berada di Bangkok. Ini termasuk 26 penumpang yang masih menerima rawatan di hospital.

Siasatan masih dijalankan.

Kejadian tragik itu telah meragut nyawa seorang lelaki warga Britain berusia 73 tahun dan mencederakan penumpang ramai lain termasuk anak kapal SIA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg