Singapura sedang mempertimbangkan cara mengawal selia kandungan ‘deepfake’ yang dijana secara digital – malah membincangkan larangan sementara – kerana kecerdasan buatan (AI) boleh mengaburkan garis antara fakta dengan cereka menjelang pilihan raya negara ini.
Negara di seluruh dunia sedang mencari jalan untuk menangani penipuan ‘deepfake’, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital (dahulunya Perhubungan dan Penerangan), Cik Josephine Teo, pada 9 Julai dalam persidangan ‘Reuters Next Apac’, yang dianjurkan oleh agensi berita itu, di ParkRoyal Collection Pickering di Chinatown.
‘Deepfake’ adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Bercakap pada satu temu bual di pentas bersama editor berita Asia Timur dan Pasifik Reuters, Cik Soyoung Kim, Cik Teo menyebut tentang pendekatan Korea Selatan melaksanakan larangan 90 hari ke atas kandungan politik yang dijana AI sebelum pilihan raya negara itu pada April.
Pelanggaran undang-undang yang disemak itu, yang berkuat kuasa pada 29 Januari, boleh membawa kepada hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga 50 juta won ($49,000).
Tetapi Cik Teo berkata tempoh pilihan raya di Singapura sangat singkat.
“Kita tidak tahu apakah pilihan raya akan berlangsung (90) hari pada masa depan. Jelas sekali undang-undang (Korea Selatan) tidak boleh digunakan dalam konteks kami, jadi kami perlu mencari sesuatu yang sesuai,” katanya semasa ceramah selama 25 minit itu.
Tiada tarikh ditetapkan bagi pilihan raya di Singapura, yang dijadualkan diadakan selewat-lewatnya pada November 2025.
Semasa pilihan raya, negara di seluruh dunia terpaksa bergelut dengan maklumat salah yang dijana AI, seperti di India, apabila ia digunakan untuk memutar belit ucapan politik dan menyamar sebagai selebriti untuk menyokong parti politik.
Pihak berkuasa Korea Selatan menangkap sejumlah 129 kejadian pemalsuan ‘deepfake’ yang dianggap melanggar larangan antara 29 Januari dengan 16 Februari.
Ahli politik di Singapura juga menjadi sasaran ‘deepfake’. Terbaru, video jana AI Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, mengulas mengenai perkara antarabangsa dan pemimpin asing telah diedarkan.
Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkata sebarang peraturan yang dikemas kini perlu menangani potensi kelemahan apabila kepalsuan yang dicipta oleh AI boleh terlepas.
“Terdapat beberapa bidang di mana undang-undang mungkin tidak cukup khusus untuk menangani kandungan yang dijana AI,” katanya, merujuk kepada ‘deepfake’ yang digunakan semasa pilihan raya.
“Saya pernah mengatakannya sebelum ini... Ia adalah sesuatu yang perlu kita perhatikan.”
Singapura mempunyai pelbagai undang-undang untuk menangani maklumat salah dalam talian, kata Cik Teo, yang menyebut undang-undang negara mengenai berita palsu, Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian atau Pofma, yang membenarkan pihak berkuasa mengarahkan mereka yang menyebarkan kepalsuan mengeluarkan pembetulan atau menghentikan perkongsiannya.
“Tidak kira bagaimana berita palsu itu dihasilkan. Sekalipun jika ia dijana dengan bantuan AI, undang-undang boleh digunakan,” kata Cik Teo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg