Seorang penunggang motosikal remaja yang dituduh melarikan diri daripada pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 4 Jun didakwa mengambil dadah pada 2023.
Pegawai LTA itu meninggal dunia selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan semasa kejadian tersebut.
Penunggang motosikal berusia 18 tahun itu, yang hadir di mahkamah menerusi pautan video pada 6 Jun, dikenakan enam tuduhan, termasuk pelbagai kesalahan trafik, seperti menunggang motosikal secara berbahaya.
Dia juga didakwa memiliki senjata dan mengambil dadah.
Dia tidak boleh dinamakan kerana berusia 17 tahun apabila dia didakwa mengambil dadah methamphetamine pada 7 Ogos 2023.
Mereka di bawah 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.
Pada 6 Jun, remaja itu, yang tidak diwakili peguam, beritahu mahkamah: “Saya pertaruhkan nyawa saya, sama seperti beliau pertaruhkan nyawanya. Kematian itu, saya mungkin salah satu faktor penyumbang, tetapi saya tidak boleh dipersalahkan.”
Mereka yang berada di galeri menarik nafas ketika tertuduh mengucapkan kata-kata itu.
Seorang pendakwa raya meminta mahkamah pada 6 Jun agar tidak menawarkan jaminan kepada remaja itu, sambil menegaskan dia melarikan diri pada Oktober 2023 sebelum dihantar ke sebuah pusat pemulihan masyarakat.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah: “Ia juga kerana keseriusan kesalahan itu. Cara tunggangannya yang berbahaya itu menyebabkan kematian pegawai yang mengejarnya.”
Remaja itu dituduh menunggang motosikal tanpa lesen sah di Ekspreswe Seletar menghala Ekspreswe Bukit Timah sekitar 10.40 pagi pada 4 Jun.
Dia didakwa gagal berhenti apabila seorang pegawai LTA mengarahkannya berbuat demikian.
Sebaliknya, remaja itu mendakwa menunggang dengan cara berbahaya untuk mengelak pegawai itu dengan memotong dua lorong dan tanda pembahagi ekspreswe.
Remaja itu juga didakwa memiliki pedang samurai di sebuah flat di Woodlands sekitar 6.30 petang pada hari itu.
Kesnya telah ditangguhkan pada 20 Jun.
Pegawai penguatkuasa LTA, Encik Zdulfika Ahakasah, 26 tahun, terlibat dalam kemalangan ketika mengejar tertuduh berhampiran susur keluar ekspreswe pada 4 Jun lalu dan meninggal dunia di hospital.
Video kejadian yang disiarkan di laman Facebook SG Road Vigilante – SGRV menunjukkan penunggang motosikal remaja yang dikejar itu membuat lencongan mengejut ke kanan dan memintas sebuah lori. Encik Zdulfika mengekori rapat di belakang sebelum motosikalnya merempuh pembahagi jalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg