Bagi Kadet Pakar Pelatih (SCT), Mohamad Afzal Mohamad Zin, mengatasi cabaran yang dilalui semasa latihan Perkhidmatan Negara (NS) bak acara larian lompat pagar.

Bekas pelajar dan pelari lompat pagar di Sekolah Sukan Singapura yang berusia 21 tahun itu, berkata setiap cabaran yang dilaluinya semasa menjalani latihan NS dianggap halangan sementara yang memerlukan kesabaran.

Namun, beliau kemudian berdepan pula dengan ‘pagar’ dalam bentuk berbeza – khususnya ketika menjalani latihan di Sekolah Kadet Pakar (SCS).

Daripada seorang atlet yang lebih selesa memerhati dan mengikut arahan jurulatih, beliau kemudian diberi peluang memainkan peranan kepimpinan di SCS pula.

“Saya boleh katakan bahawa sebelum ini (semasa di sekolah), saya lebih banyak memerhati. Saya tidak begitu yakin untuk memimpin.

“Misalnya, dalam acara lari berganti-ganti, saya biasanya hanya mengikut arahan jurulatih atau rakan sepasukan tentang cara perlumbaan harus dilaksanakan pada hari pertandingan.

“Sebagai seorang atlet dan pelari lompat pagar, saya melihat setiap cabaran seperti halangan yang perlu saya atasi.

“Saya rasa pemikiran itu banyak membantu saya apabila berdepan dengan perkara-perkara baharu di SCS,” ujar lulusan Diploma dalam Sains Sukan dan Senaman dari Akademi PSB itu.

SCT Mohamad Afzal merupakan antara 1,173 Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang tamat latihan dan menerima pangkat sarjan, sempena Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar Pelatih 68/26 di Kem Pasir Laba pada 20 Ogos, setelah menjalani latihan intensif selama 22 minggu di SCS.

Kumpulan itu merangkumi 952 anggota daripada Angkatan Tentera Singapura (SAF); 79 anggota Angkatan Laut Republik Singapura (RSN); 60 anggota Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF); dan 82 anggota Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), SCT Mohamad Afzal, berkata menyusuli tamatnya latihan yang dilaluinya di SCS, beliau akan memikul tanggungjawab selaku pakar perisai.

“Saya juga mahu mempelajari kemahiran yang boleh dimanfaatkan selepas tamat NS, seperti kemahiran kejurulatihan.

“Saya berharap suatu hari nanti dapat kembali ke Sekolah Sukan Singapura sebagai jurulatih dan menyumbang semula kepada sekolah yang telah banyak membantu saya,” jelas anak bongsu tiga beradik itu.

“Oleh itu, saya rasa perlunya untuk belajar menjadi pemimpin pula dan menjadi lebih yakin dalam memberikan arahan – bagi membantu saya pada masa hadapan,” tambahnya.

Ternyata, kesungguhan dan usaha yang dicurahkan SCT Mohamad Afzal sepanjang kursus yang dilaluinya membuahkan hasil apabila beliau diiktiraf sebagai penerima anugerah Bayonet Perak.

Anugerah tersebut diberikan kepada antara kadet terbaik dalam SCS sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang mereka, termasuk dalam aspek kecergasan fizikal dan kepimpinan.

Kadet Pakar Pelatih (SCT) Mohamad Afzal Mohamad Zin, menerima anugerah Bayonet Perak sebagai pengiktirafan terhadap prestasi beliau sepanjang menjalani latihan di Sekolah Kadet Pakar (SCS).
Kadet Pakar Pelatih (SCT) Mohamad Afzal Mohamad Zin, menerima anugerah Bayonet Perak sebagai pengiktirafan terhadap prestasi beliau sepanjang menjalani latihan di Sekolah Kadet Pakar (SCS). - Foto MINDEF

Menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka, sambil merakamkan rasa bangganya, SCT Mohamad Afzal, yang dijadual menamatkan NS pada November 2027 berkata:

“Saya gembira kerana segala usaha yang saya curahkan sepanjang kursus membuahkan hasil dan jurulatih saya dalam SCS mengiktiraf kerja keras saya.

“Menerima Bayonet Perak ini bukan bermakna saya sudah selesai belajar.

“Bahkan, saya rasa masih ada tahap yang lebih tinggi yang perlu saya capai dan terus dalami.”