Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: S’pura perlu perkukuh daya tahan melalui pelaburan awal dalam keupayaan penjagaan kesihatan
Chun Sing: S’pura perlu perkukuh daya tahan melalui pelaburan awal dalam keupayaan penjagaan kesihatan
Chun Sing: S’pura perlu perkukuh daya tahan melalui pelaburan awal dalam keupayaan penjagaan kesihatan
Singapura perlu mengenal pasti kelemahan yang boleh membawa kesan besar terhadap negara jika gagal ditangani, serta mengambil pendekatan “berwaspada” dan bukannya “tepat pada masanya”, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam.
Teras pendekatan “berwaspada” ialah melabur lebih awal dalam keupayaan yang hanya dihargai apabila diperlukan, kata Encik Chan ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam dan Perubatan Pekerjaan ke-20 di Temasek Club pada 13 Ogos.
Memetik pandangan mendiang bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Donald Rumsfeld, mengenai “perkara yang kita tahu”, “perkara yang kita sedar kita tidak tahu”, dan “perkara yang kita langsung tidak tahu”, Encik Chan berkata dua kategori terakhir lebih mencabar untuk ditangani.
Encik Chan berkata demikian di persidangan Daripada Pencegahan kepada Persediaan: Melindungi Kesihatan Merentas Sistem (From Prevention to Preparedness: Safeguarding Health Across Systems).
Wabak penyakit ialah contoh “perkara kita sedar kita tidak tahu”, manakala pandemik Covid-19 dianggap “perkara yang kita langsung tidak tahu” kerana dunia tidak mengetahui sifat, masa atau persiapan yang diperlukan.
Encik Chan berkata perkara sedemikian boleh berlaku dalam politik sejagat, perubatan dan kesihatan awam, serta memerlukan persiapan diri, pasukan dan sistem.
Sistem “tepat pada masanya” adalah cekap dan menggerakkan sumber apabila diperlukan.
Namun, Encik Chan berkata pendekatan itu tidak memadai untuk menangani kelemahan tertentu kerana apabila krisis melanda, masa terlalu suntuk untuk membina keupayaan dari awal.
Oleh itu, pendekatan awal “berwaspada” diperlukan dan turut menjadi asas sistem perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kata Encik Chan.
Melalui pemeriksaan dan pengelasan perubatan, SAF mengenalpasti risiko, menempatkan anggota Perkhidmatan Negara (NS) mengikut tahap kesihatan serta mengekalkan kesediaan operasi.
Pendekatan itu diteruskan melalui vaksinasi, pencegahan kecederaan akibat haba dan pemantauan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan latihan dan tugas sepanjang perkhidmatan.
“Matlamatnya mudah, memastikan anggota tentera kita kekal sihat, selamat, bersedia bertugas dan mampu menyumbang kepada pertahanan Singapura,” kata Encik Chan.
Pengajaran daripada krisis wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003 turut mendorong Singapura melabur dalam stok simpanan pelitup muka, ubat antivirus dan bekalan perubatan SAF.
Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) pula dibuka pada 2019, memberikan Singapura kedudukan lebih kukuh ketika pandemik Covid-19.
Selain usaha awal ini, keseluruhan sistem, bukan hanya sektor tertentu, perlu bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Perkhidmatan perubatan SAF bekerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan awam dalam rawatan pakar, vaksinasi, pengurusan penyakit berjangkit dan kesinambungan penjagaan.
Beliau menegaskan kesediaan turut memerlukan sistem data selamat, keserasian sistem, keselamatan siber, ujian tekanan dan penyelarasan merentas sektor.
Encik Chan berkata melabur dalam rakyat ialah pelaburan “berwaspada” paling penting kerana daya cipta dan keazaman mereka menentukan keupayaan menghadapi krisis.
Latihan perlu merentas disiplin supaya doktor, jururawat, pengamal kesihatan awam, ahli psikologi, saintis sukan, komander dan pakar data dapat beroperasi sebagai satu pasukan sebelum krisis seterusnya muncul.
