Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) menjangkakan lebih banyak lawatan ke unit Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta pendedahan secara langsung kepada kemahiran robotik, siber dan kecelikan digital.

Ini di samping modul khusus seperti latihan di kemudahan Tentera Darat, Program Pengalaman Penerbangan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan kursus keyakinan ketenteraan.

Di bawah pelan hala tuju NCC2030 yang diumumkan pada 26 Ogos oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, NCC akan memperkenalkan komponen latihan teras bersama yang memberikan kadet pengalaman serta kemahiran hidup.

Beliau juga menyatakan bahawa ibu pejabat NCC akan dipindahkan dari kem Amoy Quee ke kampus baharu di kem Bedok menjelang 2032.

Pengumuman tersebut dibuat semasa sambutan ulang tahun ke-125 NCC di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB).

Menekankan bahawa pembentukan generasi muda sejak usia kecil menjadi tunjang kepada pertahanan dan keselamatan Singapura, Encik Chan berkata:

“Pada akhirnya, pertahanan negara kita bergantung pada kesediaan rakyat untuk teguh mempertahankan negara.

“Segala usaha ini perlu bermula di bangku sekolah, dengan memupuk nilai dan etos dalam diri mereka agar mereka mampu menghadapi cabaran yang mendatang, walau apa jua keadaan.”

Kadet juga akan mendapat lebih banyak peluang menyertai kegiatan seperti menakik turun bertali (rappelling) dan pertandingan antara unit.

Encik Chan turut berkongsi bahawa pakej latihan akan diselaraskan bagi mengurangkan kerja pentadbiran dalam kalangan guru, dengan sokongan kumpulan Jurulatih Pembantu NCC (Auxiliary Trainers) yang telah ditempatkan di beberapa sekolah sejak awal tahun ini dalam percubaan menjalankan pelan hala tuju NCC2030.

Inisiatif ini membolehkan bekas anggota tetap berkongsi kepakaran dan pengalaman praktikal dengan kadet, manakala pegawai guru pula boleh menumpukan perhatian kepada usaha membimbing dan membentuk pelajar.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di luar acara tersebut, Komandan NCC, Leftenan-Kolonel Kanan (SLTC) Mohd Nizam Yahya, 49 tahun, berkata pelan hala tuju yang diperbaharui itu akan memberikan kadet peluang meraih lebih banyak pengalaman menerusi pelbagai program yang disediakan.

“Apabila mereka mempelajari tentang kepimpinan, mereka belajar bagaimana untuk bekerjasama sebagai satu pasukan. Ini sebenarnya kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk di luar konteks NCC,” ujar SLTC Nizam.

(Dari kiri) Kadet Kapten NCC Muhammad Raiyaan Arshad, pengerusi jawatankuasa eksekutif pegawai kadet, dan Komandan NCC, SLTC Mohd Nizam Yahya.
(Dari kiri) Kadet Kapten NCC Muhammad Raiyaan Arshad, pengerusi jawatankuasa eksekutif pegawai kadet, dan Komandan NCC, SLTC Mohd Nizam Yahya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kadet Kapten (NCC) Muhammad Raiyaan Arshad, 20 tahun, seorang pelajar kejuruteraan aeronautikal di Politeknik Nanyang yang kini berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif pegawai kadet, turut berkongsi dengan BH bagaimana NCC2030 akan memberikan pendedahan lebih luas kepada kadet dari segi perkhidmatan dalam bidang udara, laut dan juga darat.

“Dengan memberikan mereka pendedahan ini, pemahaman mereka tentang pelbagai perkhidmatan SAF akan meningkat, yang akhirnya membolehkan mereka membuat pilihan dengan lebih yakin.

“Lebih penting lagi, apabila mereka didedahkan kepada konteks dan kemahiran yang berbeza, mereka akan dihadapkan dengan pelbagai cabaran yang dapat membentuk mereka menjadi individu yang lebih matang,” ujarnya.