Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan pemulihan bagi wanita yang curi lagi ketika tunggu hukuman kesalahan tipu dan curi

Apr 22, 2025 | 7:06 PM
kesalahan curi
Pada 22 April, seorang wanita diarahkan menjalani latihan pemulihan selama sekurang-kurangnya setahun atas dua tuduhan mencuri, dan satu tuduhan menipu. - Foto PIXABAY

Seorang remaja perempuan, yang mengaku bersalah pada Ogos 2024 atas tuduhan menipu dan mencuri, mengulangi kesalahannya sebulan kemudian ketika dibebaskan dan menunggu hukuman, dengan mencuri barangan termasuk produk kecantikan bernilai lebih $1,000.

Pesalah tersebut sedang hamil ketika didapati bersalah pada Ogos 2024.

Namanya tidak boleh didedahkan kerana dia baru berusia 17 tahun ketika melakukan kesalahan tersebut.

Pesalah tersebut, yang kini berusia 20 tahun, mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan mencuri pada Januari 2025, lapor The Straits Times.

Pada 22 April, wanita tersebut diarahkan menjalani latihan pemulihan selama sekurang-kurangnya setahun atas dua tuduhan mencuri dan satu tuduhan menipu.

Pesalah muda yang diarahkan menjalani latihan pemulihan akan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan untuk mengikuti satu latihan tatatertib yang ketat, termasuk latihan kawad dan kaunseling.

Peguam bela, Encik Cory Wong dari Invictus Law Corporation, sebelum ini, memaklumkan mahkamah bahawa pesalah tersebut telah melahirkan seorang bayi lelaki pada akhir 2024.

Pada atau sebelum 30 September 2021, dia telah membuat satu perjanjian dengan seorang bekas rakan sekerja untuk membuka satu akaun bank dan membenarkan rakannya mengawal akaun tersebut.

Pada 30 September 2021, wanita tersebut pergi ke sebuah bank dan menyatakan dalam borang permohonan bahawa dia akan menjadi satu-satunya pengendali akaun tersebut.

Namun, selepas akaun itu dibuka, dia menyerahkan maklumat perbankan dan kad ATM yang dihubungkan dengan akaun tersebut, kepada bekas rakan sekerjanya.

Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ariel Tan, memberitahu mahkamah pesalah tersebut sudah terputus hubungan dengan bekas rakan sekerjanya itu, dan tidak menerima sebarang keuntungan selepas menyerahkan akaun itu kepadanya.

Dia telah dibebaskan dengan ikat jamin ketika melakukan satu lagi kesalahan pada 31 Mac 2022.

Sekitar 1 petang pada hari itu (31 Mac), dia pergi ke sebuah kedai di pusat beli-belah Suntec City dan meletakkan barangan makanan bernilai hampir $96 ke dalam bakul.

Seorang pengurus kedai kemudian ternampak remaja itu hanya membayar untuk sebotol air di kaunter bayaran.

DPP Tan berkata: “Pengadu memutuskan untuk mengekori tertuduh keluar dari kedai, dan ketika bertemu, beliau meminta untuk memeriksa begnya. Tertuduh berkata, ‘maaf, saya terlalu ikutkan hati’...

“Semua barangan yang tidak dibayar telah dikembalikan ke kedai.”

DPP Tan berkata pada 18 September 2024, pesalah tersebut pergi ke sebuah kedai di pusat beli-belah i12 Katong di East Coast Road dan mencuri barangan bernilai lebih $1,000 kesemuanya.

Ia termasuk serum dan masker muka untuk penjagaan kulit.

Dua hari kemudian, seorang pengurus di kedai itu memaklumkan polis mengenai kes itu.

Pesalah itu telah membayar sepenuhnya nilai barangan yang dicuri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg