Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan simulasi kapal selam terbaru RSN lebih cekap, selamat

Pusat Latihan Kapal Selam di Pangkalan Tentera Laut Changi yang dinaik taraf sedia latihan hampir keadaan sebenar
Sep 25, 2024 | 5:34 PM
Simulator Jurulatih Penyelam Kapal Selam melatih kru kapal selam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) cara pergerakan kapal selam kelas Invincible.
Simulator Jurulatih Penyelam Kapal Selam melatih kru kapal selam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) cara pergerakan kapal selam kelas Invincible. - Foto ST

Dengan perasmian perkhidmatan kapal selam kelas Invincible terbarunya pada 24 September, kru kapal selam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) kini boleh menjalani latihan lebih cekap di Pusat Latihan Kapal Selam yang baru dinaik taraf.

Dimodelkan mengikut kapal selam kelas Invincible, pusat latihan itu – terletak di Pangkalan Tentera Laut Changi – dilengkapi dengan simulasi utama seperti Jurulatih Penyelam Kapal Selam (SDT), Jurulatih Penyelenggaraan (MT), Jurulatih Pasukan Perintah (CTT), dan Jurulatih Prosedur Maya (VPT).

Latihan itu membolehkan anggota kapal selam mengasah kemahiran seperti menyelam, memandu, dan bertempur tanpa perlu berada di laut.

Bentuk latihan yang hampir sama seperti keadaan sebenar di dalam kapal selam itu sekali gus menawarkan latihan lebih cekap, dan memastikan keselamatan anggota kapal selam lebih terjaga.

Bercakap kepada Berita Harian, jurutera marin bagi kapal selam kelas Invincible, ME4 Toon Wei Kiat, berkata pusat latihan itu memainkan peranan penting dalam memastikan kru lebih bersedia menghadapi cabaran laut sebenar.

“Latihan di pusat ini memberi peluang kepada kami mencuba dan menguasai prosedur secara realistik sebelum kami benar-benar berada di laut.

“Ini memastikan kami lebih bersedia dan mampu menghadapi cabaran di laut tanpa risiko besar,” ujarnya, yang menjadi kru kapal selam sejak 2003.

SDT memberi kru kapal selam pengalaman sebenar semasa menyelam dan mengemudi kapal selam kelas Invincible.

Dengan simulasi kapal selam yang membolehkan ia bergerak seperti sedang menyelam dan menaiki semula ke permukaan, kru dapat melalui pengalaman seperti berada di dalam situasi sebenar di laut.

MT pula menyediakan replika sistem kemudi, kotak suis elektrik dan keratan rentas kecil petak bateri kapal selam kelas Invincible.

Sebuah petak bateri terdiri daripada ratusan sel bateri asid plumbum, disediakan untuk kru menjalani latihan penyelenggaraan bateri di ruang sempit.

Bateri yang tidak mempunyai arus elektrik hidup itu dikira lebih selamat berbanding di kapal selam sebenar kerana tiada risiko terkena renjatan elektrik atau kerosakan bahagian kapal.

Sementara itu, CTT memberi anggota kapal selam latihan pertempuran sebagai sebuah unit untuk operasi di dasar laut.

Kru akan meneliti cara penggunaan periskop, konteks simulasi, serta mengendalikan sonar untuk mengenal pasti bunyi penting dalam mengesan kapal berbahaya, dan bertindak sewajarnya sebagai satu pasukan.

VPT pula membolehkan kru memahami secara mendalam cara mengendalikan sistem kapal selam secara maya sebelum mencubanya di laut.

Ini mengurangkan risiko kesilapan dan meningkatkan keyakinan dalam operasi sebenar.

Untuk menjadi kru kapal selam RSN, individu harus menjalani Kursus Kelayakan Kapal Selam (SMQC) selama sembilan bulan.

Latihan bermula dengan fasa asas, iaitu cara pergerakan kapal selam, sebelum beralih ke peranan khusus seperti pasukan sonar yang memberi tumpuan kepada bunyi di laut, atau jurutera yang fokus pada enjin kapal selam

Mereka kemudian akan melalui fasa praktikal pelabuhan sebelum fasa penilaian.

Menurut Komander Flotilla Ketujuh, Kolonel Fong Chi Onn, dengan peningkatan teknologi maya sedia ada, mereka menjangka pengurangan dalam tempoh kursus sembilan bulan itu.

“Dulu, latihan sangat bergantung pada ketersediaan platform (kapal selam), dan ini mewujudkan keterbatasan. Kapal selam kecil, anda tidak boleh membawa ramai orang untuk latihan di atas kapal.

“Kami telah membuat perubahan dalam latihan, terutama latihan maya, yang membolehkan kami meningkatkan kecekapan latihan serta keberkesanannya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg