Skrin digital di Serangoon beri maklumat jelas kepada penumpang MRT semasa gangguan
Skrin digital di Serangoon beri maklumat jelas kepada penumpang MRT semasa gangguan
Beberapa ciri baru dirintis semasa latihan uji kesediaan tangani gangguan besar MRT
Skrin digital yang memaparkan status operasi bagi semua laluan kereta api dan memberikan panduan visual untuk mengarah orang ramai ke aturan pengangkutan alternatif kini dirintis di stesen MRT Serangoon.
Inisiatif tersebut bertujuan memberikan maklumat terkini yang jelas kepada penumpang, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan bersama SBS Transit (SBST) dan SMRT Trains pada 24 Januari.
Terletak di kededua bahagian Laluan Timur Laut (NEL) dan Laluan Circle (CCL) di stesen tersebut, skrin digital ini selaras dengan saranan pasukan bertindak kebolehpercayaan rel.
Salah satu saranan adalah untuk mewujudkan “komunikasi jelas dan tertumpu kepada penumpang,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
Semakan bakal dijalankan, dan ciri-ciri yang dianggap berkesan akan diperkenalkan secara berperingkat ke stesen MRT lain yang sibuk serta stesen pertukaran utama, menurut jurucakap LTA.
LTA juga sedang membangunkan alat digital baru yang akan menyediakan maklumat khusus bagi setiap perjalanan, yang turut akan tersedia di platform seperti Google Maps.
Ciri-ciri baru tersebut diuji pada awal pagi 24 Januari sewaktu latihan diadakan bagi menguji kesediaan operasi menangani gangguan besar dalam rangkaian pengangkutan awam.
Pada tengah malam 24 Januari, stesen MRT Serangoon bertukar menjadi zon krisis yang disimulasi pada 12 pagi.
Latihan ‘Greyhound’, yang bermula sejak 2012, dijalankan sempena Latihan SG Ready 2026 iaitu latihan pertahanan mutlak yang diadakan untuk meningkatkan kesediaan warga Singapura menghadapi krisis dan gangguan.
Sekitar 170 kakitangan LTA, SBST, SMRT, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) turun padang bagi melibatkan diri dalam latihan tersebut.
Sewaktu latihan itu, kakitangan LTA, SBST dan SMRT meniru situasi kereta api yang tergendala di terowong antara stesen MRT Kovan dengan Serangoon, semasa tempoh gangguan perkhidmatan yang dirancang.
Sebagai respons, SBST menyediakan khidmat bas percuma antara stesen yang terjejas dan mengerah kakitangan untuk mengarahkan penumpang ke Laluan Circle (CCL) dan tempat menaiki bas perantara.
SMRT pula membuat pengumuman kepada orang awam di stesen CCL Serangoon, serta mengerah kakitangan ke lokasi untuk membantu penumpang.
LTA dan pengendali rel menyampaikan maklumat terkini mengenai situasi kepada penumpang dengan membuat pengumuman di stesen dan dalam kereta api.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menyaksikan latihan tersebut bersama sekitar 130 wakil utama dari Go-Ahead Singapore, Tower Transit Singapore, Persatuan Rakyat (PA), Kementerian Pertahanan (Mindef), SPF dan SCDF.
Edisi latihan ‘Greyhound’ yang ke-11 turut melibatkan Duta Pengangkutan, iaitu penumpang biasa yang menjadi sukarelawan di bawah Gerakan Penumpang Prihatin dan dilatih untuk membantu penumpang lain semasa gangguan.
Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kaiang berkata mereka sedar bahawa sebarang gangguan perkhidmatan menimbulkan kesulitan yang ketara kepada penumpang.
Justeru, latihan seperti ‘Greyhound’ membolehkan pasukan mereka berlatih dengan cara terbaik untuk menyokong penumpang apabila gangguan berlaku, katanya.
“Komitmen kami adalah untuk terus memperbaiki keadaan, agar setiap orang yang bergantung kepada rangkaian kami rasa terjamin bahawa kami sangat bersedia menghadapi sebarang kecemasan,” tambah beliau.

