Lebih 1,000 kakitangan daripada 27 negara, termasuk Singapura, mengambil bahagian dalam satu latihan pertahanan dari 24 hingga 28 Februari yang menguji tindak balas peserta terhadap simulasi serangan siber.
Latihan Defence Cyber Marvel (DCM) melibatkan satu siri cabaran berasaskan senario yang menguji peserta dalam mengenal pasti dan meringankan kesan serangan siber simulasi dalam satu persekitaran operasi yang realistik, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 1 Mac.
Edisi keempat latihan itu, yang dikendalikan oleh Persatuan Siber Tentera Britain, telah diadakan di Seoul, Korea Selatan, lapor The Straits Times.
Kumpulan Pertahanan Siber (CDG) Singapura – daripada Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) Angkatan Bersenjata Singapura – mengambil bahagian secara terasing dari Singapura dengan rakan sejawatan mereka daripada Tentera British.
“Pembela siber kami mempamerkan tahap profesionalisme dan kecekapan yang tinggi sepanjang latihan,” kata komander CDG, Leftenan Kolonel Kanan Mok Chuan Hao.
Beliau menambah: “Latihan ini juga merupakan satu peluang berharga untuk menanda aras amalan terbaik dan belajar daripada rakan sejawat kami di Britain, dengan mengumpul pandangan yang akan membantu kami berkembang lebih jauh.”
Ketua pasukan bagi Angkatan Tentera Britain, Kapten Andy Humphrys, memuji “kecekapan teknikal, profesionalisme dan kepakaran tahap tinggi semasa latihan” pasukan DIS itu.
“(Pasukan DIS) pastinya melengkapi dan bekerja dengan baik dengan pasukan Kementerian Pertahanan Britain,” katanya.
DIS telah mengambil bahagian dalam DCM sejak 2024.
“DCM menghimpunkan pembela siber daripada angkatan tentera, agensi pemerintah dan rakan kongsi perusahaan untuk belajar, berkongsi amalan terbaik dan mengukuhkan keupayaan keselamatan siber kolektif dalam landskap ancaman digital yang berkembang,” kata Mindef dalam kenyataannya.
Ia menambah bahawa penyertaan dengan Angkatan Tentera Britain menggariskan hubungan pertahanan dua hala yang hangat dan lama antara Singapura dengan Britain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg