Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura-Australia perkukuh kerjasama pertahanan dua hala

Chun Sing: Ia dipertingkatkan di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) 2.0
Oct 6, 2025 | 8:19 PM
S’pura, Australia, Pertahanan
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, melawat tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang mengambil bahagian dalam Latihan Wallaby di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia pada 5 Oktober. - Foto MINDEF

Singapura dan Australia akan mempertingkat kerjasama pertahanan mereka di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) 2.0, meningkatkan akses dua hala kepada kemudahan ketenteraan satu sama lain, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

“Ia memperluaskan dan memperkukuh kerjasama kita dalam bidang kepentingan strategik yang semakin meningkat – sains dan teknologi pertahanan, logistik pertahanan dan daya tahan rantaian bekalan, dan pertukaran profesional,” kata beliau, ketika berucap di majlis jamuan malam penghargaan Latihan Wallaby 2025 di Queensland, Australia pada 4 Oktober.

CSP Singapura-Australia itu telah dilancarkan pada 2015, dengan lima tunggak kerjasama iaitu ekonomi dan perdagangan; pertahanan dan dasar luar, inovasi dan sains; penglibatan penduduk dan ekonomi digital.

Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan berasingan pada 6 Oktober, berkata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, akan menandatangani Deklarasi Bersama untuk melancarkan CSP 2.0 itu sempena lawatan rasmi Encik Wong ke Australia dari 6 hingga 9 Oktober.

Majlis jamuan malam penghargaan itu – yang turut dihadiri Utusan Khas Australia untuk Pertahanan, Ehwal Veteran dan Australia Utara, Encik Luke Gosling – diadakan pada malam sebelum Encik Chan melawat tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang mengambil bahagian dalam Latihan Wallaby di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia pada 5 Oktober.

Edisi ke-35 Latihan Wallaby itu, yang diadakan dari 7 September hingga 2 November, melibatkan hampir 5,200 kakitangan SAF dan lebih 500 platform, termasuk dari Tentera Darat Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).

Pada 2025, Singapura dan Australia menyambut 60 tahun hubungan diplomatik.

Meskipun Australia antara negara pertama yang mengiktiraf Singapura selepas negara ini merdeka enam dekad lalu, Encik Chan berkata hubungan pertahanan dua negara itu menjangkau lebih lama – seawal Perang Dunia Kedua apabila dua briged Angkatan Pertahanan Australia (ADF) mempertahankan negara ini.

Pada 1975 – tepat 50 tahun yang lalu – SAF mula berlatih di Australia. Pada 1990, Latihan Wallaby diadakan buat kali pertama di Australia, melibatkan lebih 1,200 kakitangan.

Encik Chan berkata perkembangan Latihan Wallaby adalah “simbol ketara dan kuat” pertumbuhan kerjasama pertahanan Singapura dan Australia, dengan skala dan mutu latihannya disokong dengan Kawasan Latihan Shoalwater Bay yang diperluas.

Dengan saiznya lima kali lebih besar berbanding Singapura, kawasan latihan itu menampilkan kemudahan terkini yang dibangunkan bersama oleh ADF dan SAF untuk mengasah keupayaan dan persediaan operasi tentera.

Encik Chan berkata kehadiran latihan SAF yang lama di Queensland tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu masyarakat setempat di sana.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana mengalu-alukan SAF ke dalam masyarakat Rockhampton dan Livingstone Shire, dan kerana memberikan layanan mesra anda kepada kakitangan kami sepanjang 35 tahun lalu,” kata beliau.

“SAF bersedia bekerjasama dengan masyarakat setempat dalam semua yang kami lakukan bersama, dan kami sentiasa gembira menyokong usaha bantuan kecemasan ADF,” tambah Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg