Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan PM Wong ke Brunei, M’sia yakinkan negara jiran komitmen S’pura terhadap hubungan dua hala

Jun 14, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kiri), dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah bertemu untuk membincangkan isu-isu dua hala serta peluang kerjasama akan datang antara Singapura dan Malaysia.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kiri), dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah bertemu untuk membincangkan isu-isu dua hala serta peluang kerjasama akan datang antara Singapura dan Malaysia. - Foto ST

Lawatan dua hari ke Brunei dan Malaysia kali ini tidak berakhir dengan perjanjian yang ditandatangani sebagai bukti kerjasama dua negara mahupun menghuraikan isu-isu dua hala yang tertunggak.

Namun, lawatan singkat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kali ini bertujuan menyediakan landasan yang kukuh bagi membincangkan isu-isu serta kerjasama dua hala antara Singapura dan dua negara jirannya itu untuk masa akan datang.

Ia juga bermaksud menyuntik keyakinan dalam diri pemimpin Brunei dan Malaysia bahawa meskipun dengan peralihan kepimpinan, komitmen serta keutamaan Singapura – terutama dalam isu melibatkan dua negara itu – tidak berubah.

Ia juga memberi isyarat akan penekanan Encik Wong terhadap kesinambungan – sesuatu yang sering ditekankannya dalam proses peralihan kepimpinan negara – dalam hubungan dua hala Singapura dengan negara jirannya.

Lawatan tersebut juga bertujuan memaparkan komitmen Encik Wong mengekalkan landasan yang sedia ada utuh – hasil kerja keras pemimpin sebelumnya – dan untuk terus mempertingkat hubungan dua hala tersebut menerusi idea serta bidang kerjasama baru.

“Saya pernah bertemu mereka (pemimpin negara) sebelum ini, tetapi penting bagi saya ambil peluang ini untuk bertemu mereka lagi selaku Perdana Menteri.

“Ini penting bagi menjalin hubungan kerjasama yang baik, keakraban di peringkat kepimpinan, kerana ini akan menjadi landasan bagi hubungan (Singapura dan negara lain) secara keseluruhan,” ujar Encik Wong semasa bertemu media Singapura di akhir lawatannya pada 12 Jun.

Ini merupakan lawatan pertama Encik Wong ke luar negara sejak mengambil alih sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei.

BRUNEI DAN MALAYSIA ‘PORT’ PERTAMA

Pilihan Brunei dan Malaysia untuk lawatan pengenalannya mencerminkan hubungan yang akrab Singapura dengan dua negara jirannya itu, seperti yang ditekankan Encik Wong.

Malah, sudah menjadi tradisi sekian lama bagi pemimpin baru Singapura memulakan lawatan pengenalan mereka di rantau ini dengan kunjungan ke Brunei.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, memulakan lawatan pengenalan selaku Perdana Menteri pada 2004 dengan mengunjungi Brunei, begitu juga dengan kedua-dua Presiden Tharman Shanmugaratnam dan mantan Presiden Halimah Yacob yang memilih Brunei sebagai perhentian pertama kunjungan luar negara mereka.

“Ini mencerminkan betapa Singapura mengutamakan hubungannya dengan Brunei, rakan kongsi kita yang istimewa dan paling dipercayai,” kata Encik Wong dalam ucapan yang disampaikan semasa upacara jamuan makan tengah hari yang dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman pada 11 Jun.

Singapura mempunyai hubungan “cukup matang” dengan Brunei, yang bermula sejak zaman Sultan Omar Ali Saifuddien, bapa kepada Sultan Hassanal Bolkiah, dengan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, menurut Encik Wong.

Beliau berkata, banyak lagi bidang kerjasama yang boleh diteroka termasuk dalam bidang pertahanan dan keselamatan makanan.

Bidang kerjasama baru ini juga bakal diteroka dengan Malaysia, jiran terdekat Singapura.

Meskipun masih terdapat isu-isu tertunggak antara Singapura dan Malaysia – termasuk isu pembekalan air kepada Singapura serta had sempadan maritim – Encik Wong berkata ini tidak harus menjejas peluang meluaskan kerjasama dua negara itu.

KEPERCAYAAN ASAS HUBUNGAN

Encik Wong telah menekankan pentingnya kepercayaan dalam hubungan dua hala Singapura dengan Malaysia, dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kediaman rasminya di Seri Perdana pada 12 Jun.

“Bagi saya, apa yang penting pada peringkat awal, selepas saya mengambil alih, bukan hanya untuk membincangkan tentang keutamaan kita dari segi projek dan perkara dalam agenda, tetapi untuk memberi tumpuan kepada hubungan manusia dan membentuk hubungan yang baik dengan rakan sejawatan saya, Perdana Menteri Anwar, kerana kepercayaan adalah asas segalanya.

“Apabila kepercayaan wujud, terutama antara pemimpin, banyak perkara kita boleh capai,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, Encik Wong menekankan bahawa beliau akan terus memperkukuh hubungan dua hala Singapura dengan negara jirannya, termasuk dengan meneroka bidang kerjasama baru.

Antara bidang kerjasama yang kini dalam perbincangan dengan Malaysia adalah mengenai kemungkinan Singapura menghantar guru mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain ke Malaysia.

Perkara tersebut dikongsi Datuk Anwar dalam sidang media dengan Encik Wong, menyusuli pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin tersebut dengan mereka turut membincangkan langkah memperkukuh hubungan dua hala.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg