PUTRAJAYA: Malaysia telah menyampaikan permintaan kepada Singapura supaya menimbangkan menghantar tenaga pendidik bagi mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa kawasan dalam usaha membantu meningkatkan penguasaan pelajar di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selain pelbagai isu utama yang dibincangkan bersama Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam mesyuarat bersama pada 12 Jun, permintaan itu yang mungkin disifatkan kecil adalah antara yang turut dibangkitkan.
“Sudah tentu kami membincangkan pelbagai perkara penting termasuk projek yang sedang berjalan dan tertunggak, antaranya mengenai zon kewangan dan zon ekonomi yang terus berjalan dengan baik... meningkatkan perdagangan dan pelaburan ke Malaysia... begitu juga dengan penyertaan kita (Malaysia) dalam cara yang mungkin lebih kecil di Singapura.
“Kami juga menyentuh parameter lebih luas untuk membincangkan isu air, FIR (Wilayah Maklumat Penerbangan) dan sempadan maritim yang saya fikir harus diselesaikan demi kepentingan hubungan masa depan dan mengeratkan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.
“Tetapi selain memperkukuh hubungan ini, kami juga berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini.
“Biarlah siswazah muda membuat pilihan sendiri (mata pelajaran mana yang hendak diajar) jika boleh,” katanya dalam sidang media bersama Encik Wong, lapor Sinar Harian.
Datuk Anwar berkata beliau turut berbesar hati hasrat itu disambut baik oleh Encik Wong.
“Perkara ini bukan sesuatu yang kami rangka terlebih dahulu menerusi pegawai-pegawai terlibat. Cuma, kita cuba buktikan bahawa adakalanya perdana menteri boleh buat keputusan tertentu sebelum memaklumkan kepada menteri berkaitan,” katanya.
Terdahulu Datuk Anwar berkata Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mempercepat resolusi bagi isu tertangguh seperti perjanjian air serta persempadanan semula kawasan maritim.
Beliau berkata isu berkaitan perjanjian air adalah rumit, namun ia harus diselesaikan secara baik dan tidak sepatutnya menghalang kededua negara daripada meneroka jalan baru.
“Tidak dinafikan bahawa kita perlu menjual air kepada Singapura. Begitu juga dengan FIR, tiada persoalan bahawa ia diperlukan oleh (Lapangan Terbang Antarabangsa) Changi.
“Isunya ialah mendapatkan butiran untuk diselesaikan. Lebih cepat ia dilakukan, lebih baik untuk negara,” katanya.
Terdahulu Datuk Anwar dan Encik Wong mengadakan mesyuarat sempena lawatan sulung Perdana Menteri Singapura itu sejak mengangkat sumpah jawatan berkenaan pada 15 Mei.
Lawatan Encik Wong menekankan komitmen Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin dan sebagai persediaan bagi sesi Rahat Pemimpin tahunan yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada akhir 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg