Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman: Pemimpin agama penting agar masyarakat faham kepercayaan berbeza

Sifat saling hormat bolehkan masyarakat berbilang agama berkembang maju
Sep 12, 2024 | 7:00 PM
Hadirin yang menghadiri acara ‘mass’ (perhimpunan agama) di Stadium Negara menyambut kedatangan pemimpin Kota Vatican, yang juga ketua Gereja Katolik, Paus (Pope) Francis (tengah) pada 12 September. Sekitar 50,000 hadir bagi acara tersebut.
Hadirin yang menghadiri acara ‘mass’ (perhimpunan agama) di Stadium Negara menyambut kedatangan pemimpin Kota Vatican, yang juga ketua Gereja Katolik, Paus (Pope) Francis (tengah) pada 12 September. Sekitar 50,000 hadir bagi acara tersebut. - Foto EPA-EFE

Pemimpin agama memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat untuk memahami dan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Pada masa yang sama, mereka berperanan memupuk norma dan nilai yang dikongsi bersama masyarakat lain.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Amanat Negara di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 12 September sempena kunjungan rasmi Ketua Gereja Katolik dan pemimpin Kota Vatican, Paus (Pope) Francis, ke Singapura.

Tuan Presiden memberikan ucapannya terdahulu disusuli oleh Paus Francis.

Sebelum itu, beliau menyambut Paus di Bangunan Parlimen, di mana orkid, Dendrobium His Holiness Pope Francis, dinamakan sempena lawatannya ke sini.

Semasa berucap, Tuan Presiden berkongsi keterbukaan terhadap norma dan nilai yang dikongsi mendorong sifat saling menghormati dan membenarkan masyarakat berbilang agama untuk berkembang maju.

Hal ini lebih penting sedang dunia semakin bergejolak dengan konflik dan ketidakstabilan, tambahnya.

Beliau menjelaskan: “Ada satu ketika dalam sejarah kita (Singapura) bahawa realiti (ketidakterbukaan) sedemikian membawa kepada ketegangan antara kaum.

“Untuk kita, semangat bersatu dan keharmonian menjadi teras dan akan terus kekal menjadi ciri penting dalam pembangunan negara.

“Semua ini tidak datang secara semula jadi. Ia hasil pembangunan negara selama beberapa dekad.”

Beliau menukil usaha Paus untuk meningkatkan keharmonian dan dialog antara kumpulan dan agama berbeza sebagai langkah memupuk keamanan sejagat.

Seruan sedemikian merupakan antara mesej yang disampaikan Paus Francis dalam siri jangka lawatan 12 hari di rantau Asia Pasifik, yang bermula di Indonesia dan Papua New Guinea sebelum berakhir di Singapura.

Dalam ucapannya selepas bertemu Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo di Istana Presiden, Jakarta, ketua berusia 87 tahun itu berkata, Gereja Katolik akan mempergiat dialog antara agama di Indonesia sebagai usaha memupuk keamanan dan keharmonian dalam negara itu.

Di Papua New Guinea pula, beliau menggesa agar suku kaum berbeza bersatu demi keamanan negara.

Hal sedemikian sekali lagi ditekankan beliau ketika memberi ucapan di UCC kepada sekitar 800 hadirin, yang terdiri daripada latar belakang berbeza dalam masyarakat.

Menyampai ucapannya dalam Bahasa Italy, Paus Francis berkata: “Sifat saling menghormati, semangat bekerjasama, dialog dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan individu dalam batasan undang-undang adalah syarat yang membenarkan kejayaan dan kestabilan Singapura.

“Hal sedemikian perlu untuk mengelakkan konflik dan kekacauan serta dapat melakar pembangunan yang seimbang dan mampan.”

Di samping itu, Tuan Presiden berkata, warga Singapura menitikberatkan negara yang kaum dan agama berlainan hidup bersama secara aman, perlembagaan menetapkan perlindungan daripada diskriminasi dan memastikan keharmonian kaum terus diasah.

Malah, kepelbagaian sedemikian membentuk identiti Singapura, tambah beliau, dan agama berbeza di sini telah memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan identiti itu.

Sungguhpun demikian, beliau akur keharmonian kaum dan agama boleh berubah.

Oleh demikian, terdapat keperluan untuk “membina persefahaman lebih mendalam, mengukuhkan interaksi antara kumpulan etnik dan agama berbeza” dan mematahkan usaha untuk memecahbelahkan masyarakat, ujarnya.

Antara yang hadir dalam sesi menyampaikan Amanat Negara itu, Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata ucapan Tuan Presiden dan Paus Francis menitikberatkan bagaimana warga Singapura menghargai kepelbagaian budaya, agama dan bangsa serta kepentingan mengekalkan persefahaman berbilang agama.

“Mesej perpisahan Paus Francis bahawa Singapura dapat memenuhi jangkaan dan keperluan warganya sebagai satu pengakhiran yang indah,” ujarnya.

Bagi Pengerusi Kumpulan Keharmonian Jalan Kayu, Encik Muhammad Ismail, gesaan Paus Francis ke arah perpaduan, keamanan, persaudaraan dan berdialog adalah sesuatu yang menyerlah baginya.

Beliau, yang juga naib pengerusi Majlis Penyelaras Kumpulan Keharmonian, berkata: “Ia peringatan bahawa kita tidak boleh mengambil mudah keharmonian yang kita ada hari ini dan tanggungjawabnya kini beralih kepada golongan dewasa untuk memupuk generasi akan datang bagi memastikan keamanan dan keharmonian ini berterusan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg