Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, bertemu dengan Gabenor Bank Pusat Qatar dan Pengerusi Qatar Investment Authority (QIA), Sheikh Bandar Mohammed Al Thani, pada 26 November di Doha.
Pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada rangka lawatan rasmi Encik Teo 24 hingga 27 November ke Qatar.
Menukil agensi berita Qatar, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai pelbagai topik kepentingan bersama dan membincangkan cara meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang berkaitan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 27 November, Encik Teo turut berkongsi bahawa beliau bertemu dengan mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Ehwal Pertahanan, Dr Khalid Al Attiyah, serta Penasihat Perdana Menteri, Encik Akbar Al Baker.
Beliau berkata kedua-dua Dr Khalid dan Encik Akbar adalah penyokong kuat hubungan Singapura-Qatar.
Awal dari itu pada 25 November, Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, dengan kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala yang sangat baik antara Singapura dengan Qatar.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 25 November, Encik Teo telah merakamkan sokongan dan penghargaan Singapura terhadap usaha Qatar dalam mencapai gencatan senjata dan meningkatkan akses kemanusiaan di Gaza, serta pembebasan tebusan.
Pada hari yang sama, Encik Teo bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani.
Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan bersama yang dikongsi oleh Singapura dan Qatar sebagai negara kecil.
Cara memperkukuh kerjasama dalam pertahanan dan bidang kepentingan bersama seperti pendigitalan pemerintah turut dibincangkan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 26 November, Encik Teo menyifatkan pertemuan itu sebagai sesuatu yang “produktif”.
Semasa lawatannya di Qatar, Encik Teo turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa TotalEnergies di Doha.
Beliau dijadualkan berangkat dari Doha ke Ankara, Turkey pada 27 November sebelum ke Arab Saudi bagi lawatan dari 30 November hingga 2 Disember.
Dalam satu kenyataan MFA pada 23 November, Encik Teo dijadualkan bertemu pemimpin Turkey untuk meneroka cara memperdalam kerjasama dua hala, dan memperingati ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Singapura-Turkey serta ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik pada 2024.
Beliau juga akan bertemu pemimpin perniagaan Turkey dan warga Singapura yang berpangkalan di Turkey.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg