Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, pada 25 November, dengan kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala yang sangat baik antara Singapura dengan Qatar.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 25 November, Encik Teo telah merakamkan sokongan dan penghargaan Singapura terhadap usaha Qatar dalam mencapai gencatan senjata dan meningkatkan akses kemanusiaan di Gaza, serta pembebasan tebusan.
Pada hari yang sama, Encik Teo turut bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Ehwal Pertahanan, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani.
Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan bersama yang dikongsi oleh Singapura dan Qatar sebagai negara kecil.
Cara memperkukuhkan kerjasama dalam pertahanan dan bidang kepentingan bersama seperti pendigitalan pemerintah turut dibincangkan.
Dalam satu hantaran Facebook pada 26 November, Encik Teo menggambarkan pertemuan itu sebagai sesuatu yang “produktif”.
Semasa lawatannya di Qatar, Encik Teo turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa TotalEnergies di Doha.
Pada 26 November, SM Teo bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Ehwal Pertahanan, Dr Khalid Mohammed Al Attiyah dan Penasihat Perdana Menteri, Encik Akbar Al Baker.
SM Teo bakal berangkat dari Doha ke Ankara pada 27 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg