Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan temui penduduk: Relawan PAP siar rakaman pertengkaran dengan PSP

Jan 10, 2025 | 6:20 PM
Salah seorang relawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terlibat dalam pertengkaran dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah memuat naik rakaman video kejadian tersebut di media sosial.
Salah seorang relawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terlibat dalam pertengkaran dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah memuat naik rakaman video kejadian tersebut di media sosial. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK AZMAN IBRAHIM

Seorang relawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terlibat dalam pertengkaran dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah memuat naik rakaman video kejadian tersebut di media sosial.

Encik Azman Ibrahim, dalam satu kiriman Facebook pada 9 Januari, mengakui dirinya sebagai salah seorang relawan yang terlibat dalam pertengkaran itu semasa sesi mendekati penduduk di Bukit Gombak pada 4 Januari.

Kedua-dua pihak mendakwa mengalami gangguan daripada pihak lawan dan memberi naratif yang berbeza tentang apa yang berlaku.

Seorang relawan PSP telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam hantaran tersebut, Encik Azman memuat naik dua video yang menunjukkan interaksinya bersama relawan PSP.

Video pertama menunjukkan sekumpulan anggota PSP bercakap dengan seorang relawan wanita dari PAP.

Video itu kemudian menunjukkan seorang relawan wanita PSP mendekati kamera dan menggunakan risalah untuk menutup lensa.

Video kedua menunjukkan relawan lelaki PSP merakam dirinya bersama Encik Azman.

Sarikata dalam video itu menyatakan: “Seorang ahli PSP terus mengejek saya, memaksa saya untuk berswafoto dengannya.”

Seorang lagi relawan PSP boleh didengar memberitahu lelaki tersebut supaya beredar, sebelum kedua-duanya menjauhi Encik Azman.

Dalam kiriman tersebut, Encik Azman berkata beliau memuat naik video-video itu kerana berasa terganggu sejak insiden tersebut.

“Pada hari itu, saya sedang menyokong rakan-rakan relawan saya semasa sesi lawatan.

“Saya ternampak relawan wanita saya dikelilingi, dan berasa bimbang. Ketika itu, kededua pihak sedang merakam video satu sama lain,” kata Encik Azman.

“Apa yang saya tidak sangka ialah mereka akan menjadi marah dan bertindak secara fizikal. Saya sekeluarga telah menjadi sasaran di talian. Kami terluka. Saya berharap kebenaran akan muncul setelah laporan polis dibuat,” tambahnya.

The Straits Times (ST) telah mengesahkan Encik Azman sebagai seorang relawan PAP dan merupakan antara relawan yang disebut dalam kenyataan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Cik Low Yen Ling, mengenai insiden itu.

Kenyataan beliau berbeza daripada kenyataan terdahulu oleh anggota PSP dan bekas calon pilihan raya, Encik S. Nallakaruppan, yang dimuat naik di Facebook pada hari kejadian pada 4 Januari.

PSP turut memuat naik rakaman video mengenai insiden tersebut.

Pada 8 Januari, pengerusi PSP, Encik Tan Cheng Bock, memuat naik sebuah video yang didakwa dirakam oleh seorang relawan PSP di dalam lif.

Dalam video itu, seorang lelaki, yang didakwa sebagai relawan PAP, dilihat merakam relawan PSP menggunakan telefon bimbit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg