Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah menjamu Perdana Menteri Bhutan, Encik Tshering Tobgay dalam satu majlis makan tengah hari pada 18 September.
Ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja Encik Tobgay ke Singapura dari 17 hingga 19 September.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 16 September, lawatan tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala Singapura dengan Bhutan dan meneroka kerjasama lanjut dalam pelbagai bidang seperti kemampanan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan kemahiran.
Pada masa yang sama, Encik Tobgay turut bertemu Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada petang 18 September di Istana.
Pada 17 September, beliau menemui Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 17 September, Tuan Presiden berkata:
“Sebagai negara, terdapat banyak yang kita pelajari antara satu sama lain.
“Dan sebagai individu juga – mereka yang pernah melawat Bhutan beritahu kami tentang layanan baik rakyatnya dan kekayaan budaya purba mereka.”
Sementara itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut menemui Encik Tobgay pada 17 September.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 17 September, Dr Vivian memberitahu bahawa kededua negara berkongsi keunikan, terutama dari segi cabaran dan peluang.
“Negara kecil kami berkongsi cabaran dan peluang yang unik.”
Ini merupakan lawatan ketiga Encik Tobgay ke Singapura. Kali terakhir beliau melawat Singapura adalah pada September 2017.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg