Di sebuah kedai di Pasar Ben Thanh, seorang wanita yang sentiasa tersenyum boleh dilihat melayani pelanggan yang berduyun-duyun datang ke kedai jahitnya.
Kedai itu, Sakura Tailor, seluas satu bilik di sini, penuh dengan pelbagai jenis kain, pakaian yang sudah siap dijahit yang digantung dari lantai ke siling dan aneka baju Melayu – daripada kebaya kepada baju kurung Pahang dan sebagainya.
Wanita itu, Cik Voung Thi Bich Dao, telah berniaga di kedai tu sejak lebih 25 tahun lalu dan beliau memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa kedainya itu amat terkenal dengan pelanggan Melayu dari Singapura, Malaysia dan Brunei.
“Pelanggan saya dari pelbagai negara tetapi majoritinya dari Singapura, Malaysia, Filipina dan Thailand,” katanya.
“Mereka datang untuk menjahit baju kurung, baju kebaya, jubah dan banyak lagi corak lain. Saya telah membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan saya selama ini.”
Cik Bich Dao, yang lebih senang dipanggil Cik Sakura oleh pelanggannya dan beliau sebenarnya generasi terkini dalam keluarga yang sekian lama berkecimpung dalam perniagaan menjahit baju.
Bapa saudaranya mengendalikan sebuah kilang dan sekumpulan anggota keluarga yang lain bertugas di kilang itu.
Cik Bich Dao menghantar semua tempahannya ke kilang itu dan proses ini membolehkan beliau menjamin mutu pakaian yang dijahit serta tempoh menunggu yang singkat bagi pelanggannya yang mungkin hanya berada di Vietnam selama dua, tiga hari.
Malah, beliau juga menawarkan khidmat penghantaran ke rumah jika mereka tidak mampu menunggu tempahan siap sebelum pulang.
Dan beliau jarang meminta bayaran dilunaskan sepenuhnya sebelum pakaian siap.
“Saya menghantar pakaian yang dah siap ke rumah mereka. Apabila mereka menerimanya, mereka memindahkan wang itu kepada saya. Pelanggan saya mempercayai saya, dan kami mengekalkan hubungan kami melalui WhatsApp, di mana mereka berkongsi idea reka bentuk mereka,” katanya.
Cik Bich Dao juga membenarkan pelanggannya membawa kain sendiri untuk dijahit, berbeza dengan amalan di beberapa kedai lain yang mahukan pelanggan membeli kain untuk mendapatkan khidmat menjahit.
Ramai dari Singapura pula memilih untuk membuat tempahan lebih awal, sebagai contoh, beberapa bulan sebelum Hari Raya Aidilfitri dan beliau jarang menolak tempahan sedemikian, kata CIk Bich Dao.
Beliau juga memberi pilihan kepada pelanggannya untuk menggunakan mata wang asing seperti ringgit Malaysia dan dolar Singapura untuk membuat pembayaran, selain menerima pembayaran melalui kad kredit.
“Saya mengekalkan harga rendah tetapi mengekalkan kualiti tinggi kerana saya mahu pelanggan saya terus datang melanggani kami... mereka akan ingat jenama saya dan pengalaman yang mereka lalui di sini,” ujar Cik Sakura.
Khidmat menyeluruh dan mutu khidmat yang diberikan kepada pelanggan itu adalah antara daya penarik yang mendorong warga Singapura seperti Cik Nor, yang enggan nama penuhnya disiarkan, untuk menempah pakaian di Vietnam.
Semasa berkunjung ke sana, beliau telah menempah baju kurung dan beberapa baju blaus yang lain.
Harga yang dikenakan bagi pembeliannya adalah amat berpatutan, kata Cik Nor. Baju yang ditempah itu juga dihantar ke hotel yang memudahkan pelanggan.
Cik Zakeerah Zain, 22 tahun, juga kini terpaut untuk menempah pakaian di Vietnam.
“Saya teragak-agak pada mulanya untuk melancong ke Vietnam kerana saya tidak pernah ke sana sebelum ini,” kongsi Cik Zakeerah yang menghasilkan video pengalamannya menempah baju di Vietnam.
Video itu dikongsi secara meluas di TikTok sehingga mendapat perhatian tukang jahit di Vietnam.
“Tetapi sebaik sahaja saya mengetahui tentang khidmat jahit baju yang lebih murah dan bermutu di sana, saya menjadi begitu tertarik untuk menempah pakaian.
“Ia adalah pengalaman yang sama sekali berbeza daripada membeli pakaian di atas rak (kedai lain). Pakaian yang dijahit pula benar-benar ‘muat’ kerana ia berdasarkan ukuran tubuh kita sendiri,” ujar Cik Zakeerah, yang berkata beliau bercadang untuk ke Vietnam lagi, bukan sahaja untuk melihat tempat-tempat bersejarah, malah untuk menempah pakaian.
Seorang lagi tukang jahit, Encik Kevin Nguyen, Pengurus Operasi di Viet Tanh Silk, turut menekankan peri penting memberikan khidmat pelanggan terbaik supaya pelanggan akan datang berulang.
Difahami, terdapat sekitar 500 kedai tukang jahit di Ho Chinh Minh, yang kebanyakannya bergantung kepada pelanggan luar negara.
“Pakaian yang ditempah lebih istimewa kerana ia dibuat mengikut ukuran badan anda,” kata Encik Nguyen yang kedainya dikenali kerana boleh menyiapkan baju berkot dalam masa 24 jam.
“Mutu perkhidmatan kami memberi nilai tambahan kepada produk kami. Justeru, kami benar-benar mendengar kehendak pelanggan kami dan sanggup memenuhi permintaan pelanggan supaya mereka puas hati.”
Data terkini daripada Skyscanner – khidmat yang membandingkan harga tiket penerbangan – menunjukkan minat yang kian bertambah di kalangan pengguna di Singapura untuk berkunjung ke Vietnam.
Menurut jurucakapnya, Cik Cyndi Hui, carian ‘Vietnam’ digunakan 48 peratus kali lebih banyak pada Mac 2024 berbanding bulan sama pada 2023. Trend serupa dilihat pada Julai.
“Secara amnya, membeli-belah, mencuba makanan tempatan dan lawatan bersejarah adalah aktiviti utama bagi pengembara Singapura.”
Selain bandar Ho Chi Minh dan Hanoi, wilayah lain seperti Da Nang dan Hoi An juga menjadi pilihan pengunjung dari Singapura sebagai destinasi tumpuan di Vietnam.
Encik Jeremiah Wong, Pengurus Kanan Komunikasi Pemasaran di Chan Brothers Travel, berkata Vietnam semakin popular dalam kalangan pelancong kerana ia menawarkan pelbagai kegiatan dan daya tarikan pada harga yang berpatutan, termasuk perkhidmatan seperti tempah jahit baju dan sebagainya.
Ini termasuk bagi keluarga yang mencari pengalaman dan kegiatan mesra kanak-kanak, dan pengembara solo yang mahukan kegiatan menarik dengan layanan mesra.
“Vietnam menonjol sebagai destinasi mesra bajet di Asia Tenggara,” tambah Encik Wong.
“Dengan harga yang kompetitif untuk penginapan, makanan dan pelbagai aktiviti riadah lain, pelawat boleh menikmati pelbagai pengalaman tanpa berbelanja agak besar.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg