Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vietnam syurga beli-belah

Kemudahan pengangkutan, lokasi dan harga rendah kekalkan Vietnam sebagai pilihan melancong, beli-belah bagi warga S’pura
Aug 25, 2024 | 5:30 AM
Pemilik Sakura Tailor di Pasar Ben Thanh di  Ho Chi Minh, Vietnam, Cik  Vương Thị Bích Đào turut dikenali sebagai Cik Sakura oleh pelanggannya dan boleh berbahasa Melayu.
Pemilik Sakura Tailor di Pasar Ben Thanh di Ho Chi Minh, Vietnam, Cik  Vương Thị Bích Đào turut dikenali sebagai Cik Sakura oleh pelanggannya dan boleh berbahasa Melayu. - Foto BM oleh KHALID BABA

Cik Zakeerah Zain, 22 tahun akur beliau tidak berapa tahu tentang Vietnam semasa menerima pelawaan sepupunya untuk ke sana pada 2023.

Beliau, seorang pencipta kandungan media sosial – telah melihat pengalaman beli-belah yang ditawarkan oleh negara itu menerusi TikTok dan Instagram.

Justeru, beliau terkejut apabila melihat dengan mata sendiri deretan kedai menjahit pakaian yang luas di kota Hoi An.

“Tak sangka... saya pulang dengan tiga helai pakaian,” ujar beliau, yang memberitahu Berita Minggu (BM) beliau berhasrat ke Vietnam pada masa akan datang.

Seperti Cik Zakeerah, ribuan warga Singapura telah meluangkan masa untuk terbang sekitar tiga jam ke Vietnam, bukan sahaja untuk melancong, malah membeli-belah dan membuat baju.

Dari tahun 1990-an lagi, kedai-kedai jahit di Vietnam telah menjadi tumpuan pelancong di Singapura dan negara lain di rantau ini kerana menawarkan khidmat menjahit baju lelaki dan perempuan dengan harga yang berpatutan.

Paling penting lagi, baju itu boleh disiapkan dalam masa satu dua hari. Kebelakangan ini, khidmat membuat alas kaki ‘bespoke’ juga kian mendapat sambutan.

Nilai mata wang Singapura yang lebih tinggi – $100 bernilai sekitar 1.9 juta dong – juga satu tarikan.

Dengan harga kurang $100, pengunjung boleh membeli sut lengkap yang dijahit khas mengikut potongan badan individu dan siap dalam 24 jam.

Seperti yang dialami negara lain, jumlah pelancong yang ke Vietnam berkurangan semasa Covid-19 melanda.

Namun, kini terdapat tanda jumlah pelancong semakin meningkat.

Vietnam ialah tempat keempat paling banyak dicari di dalam talian pada Ogos 2024, mengikut data Skyscanner, yang antara lain menyediakan khidmat perbandingan harga tiket penerbangan.

Menjawab pertanyaan BM, jurucakap Skyscanner Cik Cyndi Hui berkata kata carian ‘Vietnam’ dalam kalangan pelancong Singapura telah bertambah pada 2024. Ini dan mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan negara itu, termasuk membeli-belah.

“Mac 2024 menyaksikan lonjakan 48 peratus dalam carian berbanding Mac 2023 dan Julai 2024 mengalami peningkatan 21 peratus berbanding Julai 2023,” kata Cik Hui.

Trend meningkat ini dijangka berterusan, terutamanya apabila rakyat Singapura ke Vietnam semasa tempoh cuti sibuk pada November, Disember dan Januari ujar beliau.

“Ho Chi Minh ialah syurga membeli-belah yang sebenar untuk warga Singapura, dengan pasar yang sibuk dan busana yang dijual dengan harga berpatutan,” kata Cik Hui, yang turut berkongsi mengenai beberapa tempat popular di sana seperti Pasar Ben Thanh dan Saigon Square.

Berkongsi sentimen serupa, Pengurus Kanan Perhubungan Pemasaran di Chan Brothers Travel, Encik Jeremiah Wong, berkata pihaknya menerima lebih banyak tempahan ke Vietnam di pameran Persatuan Ejen Pelancongan Nasional Singapura (Natas) 2024 yang diadakan baru-baru ini.

“Tempahan untuk Vietnam meningkat dua kali ganda berbanding acara yang sama tahun lepas,” kongsi Encik Wong.

Melebihi statusnya sebagai ‘syurga beli-belah’ Encik Wong berkata faktor lain seperti pilihan penerbangan dan penginapan yang meluas juga berperanan memikat orang ke Vietnam. Dua kota terbesar di Vietnam, Ho Chi Minh dan Hanoi pula kaya sejarah.

“Hanoi dan Ho Chi Minh City menawarkan gabungan dinamik sejarah, budaya dan kemodenan, manakala Da Nang dan Hoi An menyediakan pengalaman yang lebih santai dan mesra keluarga,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg