Menjelang 16 Januari, satu “VIP” akan diberi layanan kelas pertama untuk perjalanan pertamanya ke luar negara.
Dia akan diiring ke lapangan terbang, memasuki pesawat melalui pintu masuk sendiri dan akan mempunyai seluruh penerbangan hanya untuknya – dan dilayan oleh tiga anak kapal.
“VIP” itu – atau ‘very important panda’ – sebagaimana digelar oleh Singapore Airlines (SIA), adalah anak beruang panda pertama dilahirkan di Singapura, Le Le, yang bakal berangkat ke Chengdu dari Singapura.
Dia akan berangkat dari Lapangan Terbang Changi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Shuangliu pada 7.15 malam pada 16 Januari.
Di bawah perjanjian pinjaman beruang panda China, anak beruang yang dilahirkan di negara asing akan dipulangkan kepada China apabila ia mencapai usia dua tahun.
Le Le membuat penampilan terakhir di Pavilion Capital Giant Panda Forest di River Wonders pada 13 Disember 2023 dan dikuarantin dalam kandangnya sejak 14 Disember.
“Dalam persiapan untuk penerbangannya, dia menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan dinilai dalam keadaan sihat,” kata SIA pada 15 Januari.
Le Le akan dipindahkan dari Mandai, yang menempatkan River Wonders, ke Lapangan Terbang Changi dalam kandang khas disesuaikan atas trak yang dikawal suhu.
Kandang berukuran 1.7 meter panjang, 1.1 meter lebar dan tinggi 1.3 meter itu mengambil masa dua minggu untuk dibina dan akan menjadi “tempat duduk” Le Le dalam penerbangannya selama empat setengah jam di atas pesawat Boeing 747-400F.
Kandang itu juga dilengkapi papan lapis yang boleh ditanggal pada hujungnya untuk memudahkan waktu makan dan pemeriksaan apabila diperlukan.
Untuk memastikan dia memasuki kandang itu secara sukarela dan dapat membiasakan diri dengan keadaan dalam kandang tersebut, penjaga beruang panda dari Mandai Wildlife Group telah melatih Le Le untuk memasuki kandang logam tersebut dengan ganjaran makanan.
Di lapangan terbang, kandangnya akan diikat pada palet dan kemudian dimuatkan ke dek utama pesawat.
Palet itu pula akan diikat ke lantai dek utama untuk mengurangkan pergerakan semasa penerbangan.
Le Le akan turut dilayan oleh penolong kurator Mandai Wildlife Group, Cik Trisha Tay, seorang doktor haiwan serta seorang penjaga dari China.
Suhu persekitaran kabin akan dikekalkan pada 12-16 darjah Celsius, sama seperti suhu habitat Le Le di River Wonders.
Seperti penumpang “VIP” lain, hidangan khas akan disediakan semasa perjalanannya.
Anak panda itu dapat memilih di antara makanan kegemarannya seperti buluh, pucuk rebung, epal, lobak dan makanan biji seberat 50 kilogram.
Ketua juruterbang, Kapten Nithaar Zain, berkata juruterbang akan lebih berhati-hati semasa berlepas dan mendarat untuk memastikan keselesaan maksimum kepada Le Le – penumpang panda gergasi pertamanya.
Dua pegawai pemunggah SIA akan berangkat ke Chengdu dahulu sebelum ketibaan Le Le untuk menyambut kedatangannya dan menyokong pengendalian di lapangan.
Setibanya di Chengdu sekitar 11.30 malam, Le Le akan dibawa ke kemudahan kuarantin di Huaying, Bandar Guang’an, di wilayah Sichuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg