Vape nilai lebih $1.1j dirampas di Mandai, lelaki ditahan
Vape nilai lebih $1.1j dirampas di Mandai, lelaki ditahan
Seorang lelaki ditahan pada 24 Februari selepas Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyerbu sebuah gudang di Mandai dan merampas vape bernilai lebih $1.1 juta.
Ia melibatkan hampir 67,000 unit vape dan komponen berkaitan, dan merupakan rampasan terbesar HSA sejak 1 September 2025, menurut kenyataan pihak berkuasa pada 13 Mac.
HSA mendapati bahawa lelaki berusia 29 tahun itu bertanggungjawab ke atas gudang komersial yang menyimpan sejumlah besar vape untuk pengedaran tempatan.
Dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengimportan vape dan komponen berkaitan.
Siasatan masih dijalankan.
Mereka yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedarkan, menjual atau menawarkan untuk menjual vape dan komponen-komponennya, boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga $20,000, atau kedua-duanya.
Mereka yang mengimport dan membekalkan vape, pemilik atau penyewa premis, akan dikenakan hukuman yang lebih berat di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Penguap mulai 1 Mei.
Mereka yang didapati bersalah mengimport vape boleh dipenjara sehingga sembilan tahun dan didenda sehingga $300,000, manakala pembekal akan dipenjara sehingga enam tahun dan didenda sehingga $200,000.
Pemilik atau penyewa tanah, bangunan atau tempat di Singapura yang membenarkan orang lain menyimpan vape atau komponennya tanpa mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, juga boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $100,000, atau kedua-duanya, untuk kesalahan pertama.
Untuk kesalahan kedua, mereka boleh dipenjara sehingga enam tahun, didenda sehingga $200,000, atau kedua-duanya sekali.
Untuk menghantar maklumat mengenai penjualan atau pemilikan vape secara haram kepada HSA, layari www.go.gov.sg/reportvape atau hubungi 6684-2036/2037.

