Sejak Februari, lebih $1.7 juta telah hilang dalam sekurang-kurangnya 10 kes penipuan yang dilaporkan melibatkan penyamaran sebagai pegawai sokongan teknikal Microsoft.

Dalam kes sedemikian, mangsa biasanya menemui amaran ‘pop-up’ yang kononnya daripada Microsoft pada pelayar komputer mereka, menurut nasihat bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada 9 Jun.

Amaran itu memaklumkan peranti mangsa telah digodam atau terjejas dan mereka perlu menghubungi ‘pegawai sokongan teknikal’ melalui nombor telefon berasaskan Internet untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Nombor itu ialah nombor lapan digit yang bermula dengan angka ‘3’.

Selepas menghubungi ‘pegawai sokongan teknikal’ itu, mangsa akan dipindahkan kepada seorang lagi penipu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dimaklumkan peranti mereka telah digunakan untuk kegiatan haram seperti pengubahan wang haram.

Mereka kemudian diarahkan memindahkan wang atau memberikan maklumat perbankan bagi membantu siasatan polis.

Dalam beberapa kes, mangsa diarahkan membenarkan capaian jarak jauh ke atas peranti mereka dengan memuat turun aplikasi capaian jarak jauh atau menekan pautan yang membolehkan penipu mengawal akaun bank mereka.

Mangsa biasanya menyedari mereka telah ditipu apabila berlaku urus niaga tanpa kebenaran dalam akaun bank mereka.

Polis dan CSA menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan sokongan teknikal dan mengesahkan ketulenan amaran tersebut melalui saluran rasmi penyedia perisian masing-masing.

“Microsoft tidak menyertakan nombor telefon dalam mesej ralat atau amaran,” kata mereka.

“Jika anda menemui amaran ‘pop-up’ yang mencurigakan, jangan hubungi nombor yang dipaparkan, jangan tekan sebarang pautan atau butang dalam amaran tersebut, dan tutup pelayar anda.”

Jika seseorang percaya beliau telah menjadi mangsa penipuan, beliau harus:

– Memutuskan sambungan Internet atau mematikan komputer untuk menghalang laluan tanpa kebenaran.

– Menghubungi bank bagi menghentikan urus niaga tanpa kebenaran.

– Memadam aplikasi yang dipasang atas arahan penipu.

– Menjalankan imbasan antivirus penuh dan memadam perisian hasad yang dikesan.

– Menukar kata laluan akaun dan maklumat perbankan menggunakan peranti lain yang dipercayai.

– Memadam penerima bayaran yang tidak dibenarkan daripada akaun bank.

– Melaporkan kejadian kepada polis dan Pasukan Respons Kecemasan Siber Singapura (SingCert) melalui e-mel singcert@csa.gov.sg atau borang pelaporan di www.csa.gov.sg/singcert/reporting

Polis dan CSA turut mengingatkan pegawai pemerintah tidak akan meminta sesiapa memindahkan wang, mendedahkan maklumat log masuk perbankan, memasang aplikasi daripada gedung aplikasi tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada polis melalui telefon atau e-mel.

Mereka juga menggesa orang ramai memasang aplikasi ScamShield, menyemak maklumat melalui sumber rasmi, memastikan perisian keselamatan komputer sentiasa dikemas kini dan melaporkan penipuan kepada pihak berkuasa serta memaklumkan orang di sekeliling mereka.