Seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan satu video tular yang memaparkan kejadian serangan, selepas satu transaksi antara dua lelaki, didakwa pada 8 Mei kerana kesalahan memiliki senjata.
Mohammad Amirrul Husni Zakariya, 31 tahun, didakwa memiliki sebilah kapak di sebuah flat di Sengkang West Way antara 7.45 dengan 8 malam, pada 6 Mei.
Pada 8 Mei, warga Singapura itu diarahkan reman di Divisyen Polis Central dan kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 15 Mei.
Jika didapati bersalah memiliki senjata, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga lima tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali.
Pesalah berulang boleh dipenjara antara dua dengan lapan tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali.
Dalam video yang tular itu, seorang lelaki berbaju kuning dilihat menyerahkan satu beg plastik yang tidak diketahui kandungannya, kepada seorang lagi lelaki yang memakai baju lengan panjang.
Selepas sejumlah wang bertukar tangan, lelaki berbaju lengan panjang itu tiba-tiba menumbuk lelaki berbaju kuning tersebut dan terus menyerangnya sehingga mangsa rebah, dengan keadaan mukanya berdarah.
Video tersebut kemudian dimuat naik ke media sosial.
Menurut polis, ia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 6 Mei, lapor The Straits Times.
Pada 7 Mei, jurucakap polis berkata bersama-sama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), mereka dapat mengenal pasti mangsa itu, suspek yang menyerang mangsa, serta seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercayai merakam klip video itu.
Anggota dan pegawai polis serta CNB kemudian melakukan serbuan di Sengkang West Way dan menahan suspek serta wanita tersebut.
Para pegawai tersebut turut merampas wang tunai lebih $3,000, tiga telefon bimbit, dua parang, sebilah kapak, sebatang pemukul besbol dan lebih 450 barangan berkaitan rokok elektronik atau ‘vape’.
Wanita tersebut tidak didakwa di mahkamah pada 8 Mei berhubung kejadian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg