Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 anggota keluarga 4 generasi kumpul sambut Raya

Keluarga besar Allahyarham Othman Abdul Kamar kumpul buat julung-julung kalinya di Singapura
Mar 31, 2025 | 12:00 PM
Keluarga besar Allahyarham Othman Abdul Kamar berkumpul di Blok 629 Bedok Reservoir Road
Keluarga besar Allahyarham Othman Abdul Kamar berkumpul di Blok 629 Bedok Reservoir Road - Foto ihsan MAIMUNAH ALI

Dari jauh, kolong Blok 629 Bedok Reservoir Road kelihatan seperti ada majlis perkahwinan yang sedang berlangsung pada 1 Syawal lalu.

Siap dengan 10 meja bulat, hiasan di dinding dan jamuan bufet, tidak aneh jika seseorang yang lalu di kolong blok itu berfikir bahawa satu majlis akad nikah sedang diadakan.

Hakikatnya, majlis pada 31 Mac itu merupakan majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri yang menghimpunkan lebih 100 anggota keluarga besar Allahyarham Othman Abdul Kamar, termasuk anak-anak dan cucu-cicitnya.

Perjumpaan itu, yang diadakan buat julung-julung kalinya di Singapura, merupakan hasil titik peluh enam orang cucu dan cucu menantu Allahyarham Othman, kesemuanya sudah pun berumah tangga dan mempunyai cucu sendiri.

Salah seorang cucu kepada Allahyarham Othman, Encik Mohd Fuad Abu Bakar, 65 tahun, berkata keluarganya telah lama merancang untuk menyatukan keluarga besar itu, namun rancangan itu tidak pernah terjadi.

“Idea untuk mengumpulkan keluarga besar Allahyarham Othman tercetus kembali pada bulan lepas (Februari) apabila kami berjumpa di majlis hari jadi cucu saya. Sebenarnya, ramai antara keluarga besar kami yang mungkin tidak kenal antara satu sama lain.

“Jadi, kami pun mulakan satu kumpulan WhatsApp dan mula bincang antara sepupu terdekat untuk cuba mengadakan perjumpaan pada Hari Raya pertama supaya kami dapat berkenalan dan eratkan lagi silaturahim,” kata Encik Fuad.

Menurut Encik Fuad, Allahyarham Othman mempunyai enam anak, namun yang masih hidup hanyalah seorang anaknya, Encik Mohamed Othman, 86 tahun, dan salah seorang menantunya, Cik Maimanah Ahmad, 93 tahun.

Allahyarham dilahirkan di Pulau Brani pada awal 1911 dan meninggal dunia pada 1981.

Pemilik kedai busana Mona J, Cik Maimunah Ali, 67 tahun, yang merupakan menantu kepada Cik Maimanah, berkata keluarga besar Allahyarham Othman merangkumi lebih 200 orang daripada Singapura dan Pontian, Johor, namun keluarga dari Pontian tidak sempat hadir.

Pada mulanya, pihak penganjur ingin mengadakan majlis tersebut di sebuah dewan besar, namun bimbang dewan yang ditempah mungkin mempunyai had masa untuk berkumpul.

“Kami ada bincang nak buat di sebuah dewan ballroom, tapi fikir balik, mungkin tak sesuai memandangkan Hari Raya pertama dan mungkin ada yang lambat datang.

“Jadi, kami pilih buat di kolong blok, siap dengan juadah dan juga hiasan Hari Raya untuk kami semua bergambar. Masa untuk berkumpul pun tidak terhad,” kata Cik Maimunah.

Beliau berkata pihak penganjur amat terharu kerana beberapa ahli keluarga telah tampil dan bergotong-royong untuk menaja dan menyiapkan beberapa aspek perjumpaan Hari Raya itu, termasuk persiapan meja, jamuan makanan serta beg cenderahati untuk kanak-kanak.

“Perjumpaan pada hari yang mulia ini amat bermakna bagi kami kerana ia memberi peluang untuk kami berkenalan dengan keluarga jauh, yang mungkin kami tidak pernah jumpa atau lama tidak berjumpa.

“Namun, majlis ini bukanlah yang terakhir. Kami akan meneruskan lebih banyak perjumpaan pada masa hadapan untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga besar Allahyarham Othman,” kata Cik Maimunah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg