Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Golongan baru bekerja ‘ghisau’ fikir duit Raya

Mar 30, 2025 | 5:30 AM
sampul duit
Golongan muda yang baru menyelami alam pekerjaan sepenuh masa berbincang sama ada mereka perlu memberi duit Raya, memandangkan mereka baru sahaja bermula bekerja kurang setahun setelah tamat pengajian di institut pengajian tinggi pada 2024. - Foto fail

“Anwar, saya baru start kerja. Kena kasi duit Raya ke?”

Begitu lah soalan yang ditanya oleh rakan kerja saya baru-baru ini.

Bukan beliau sahaja, malah, beberapa kakitangan muda Berita Harian (BH) yang baru menyertai bilik berita ini juga tanya hal yang sama.

Mereka merupakan golongan yang sedang berjinak-jinak menyelami alam pekerjaan sepenuh masa, memandangkan mereka baru sahaja menyertai BH kurang setahun setelah tamat pengajian di institut pengajian tinggi pada 2024.

Ada yang telah bekerja hampir sembilan bulan dan ada kira-kira empat bulan, namun tertanya-tanya sama ada mereka harus memberi duit Raya kepada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan.

Ghisau kita fikirkan,” kata mereka, merujuk kepada slang Malaysia yang bermakna ‘risau’.

Meskipun istilah pemberian duit Raya ini bukan perkara yang wajib dari segi agama, ada yang berfikir sama ada mereka akan dipandang lokek sekiranya tidak memberi duit Raya tahun ini.

Dalam perbincangan kami yang merangkumi kira-kira 10 orang, seorang daripada mereka berkata beliau mungkin tidak akan memberi duit Raya.

“Saya belum setahun penuh bekerja pun. Baru empat bulan. Jadi, saya fikir, saya masih dalam kategori student (pelajar).

Actually, saya harap saya masih dapat duit Raya kerana saya masih ada student card (kad pelajar),” ujranya berseloroh, mengundang gelak daripada semua.

Menurut tinjauan pekerjaan lulusan terkini yang dikeluarkan pada 25 Februari, lulusan yang baru tamat pengajian universiti mendapati lebih sukar mendapatkan pekerjaan tetap sepenuh masa, dengan peratusan turun di bawah 80 peratus.

Namun, mereka yang berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa memperoleh pendapatan lebih tinggi dengan gaji bulanan kasar median pada $4,500 pada 2024, berbanding $4,317 pada 2023.

Dalam kalangan golongan muda BH, rata-rata majoriti berkata mereka akan tetap memberi duit Raya, tetapi tidak setinggi berbanding duit Raya yang pernah mereka dapat daripada ahli keluarga dan saudara-mara yang telah lama bekerja dan mempunyai wang simpanan yang lebih banyak.

“Saya rasa mungkin saya beri $2 atau $4? Yang jauh, mungkin $2; yang dekat, $4. Tapi, kalau ahli keluarga sendiri, mungkin lebih sedikit – $10,” kata seorang lagi.

Seorang lagi berkata $2 atau $4 mungkin tidak cukup kerana “harga pasaran” sudah naik.

Beliau berkata ‘harga pasaran standard’ kini adalah sekurang-kurangnya $5, dan ada kata sekurang-kurangnya $6.

“Kalau ibu bapa dan ahli keluarga, saya akan beri mungkin antara $50 dengan $100. Adik-beradik dan anak saudara mungkin $10; yang jauh mungkin $5.

“Mungkin pada tahun hadapan, setelah wang simpanan saya bertambah, mungkin saya akan naikkan duit Raya,” kata beliau yang baru empat bulan bekerja sepenuh masa.

Adat memberi duit Raya bukan perkara baru.

Ia adat yang digalakkan, namun harus dilakukan mengikut kemampuan sendiri.

Kalau tidak mampu, usah lakukan.

Tidak perlu stres.

Pada masa yang sama, jangan pula kita mengharap.

Apa yang penting dalam pertemuan dan kunjungan semasa Hari Raya Aidilfitri adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan menjalin silaturahim dengan keluarga, sahabat handai, saudara-mara dan rakan-rakan yang mungkin telah lama kita tidak bersapa dan bersua muka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg