Sambutan Syawal kali ini penuh pengertian dan lebih istimewa buat Encik Ricqo Rafiezuwan.
Buat pertama kali dalam hidupnya, beliau menyeberangi Tambak Johor, Malaysia, untuk memilih sendiri baju Raya di sebuah pusat beli-belah, dan buat pertama kalinya juga, beliau berpeluang memberi duit Raya kepada anggota keluarga serta mereka yang banyak membantunya selama ini.
Namun, pengertian paling besar bagi beliau ialah Aidilfitri kali ini adalah yang pertama buatnya sebagai seorang penduduk tetap (PR) Singapura – setelah 26 tahun hidup tanpa status kewarganegaraan.
“Saya tidak akan lupa perasaan saya apabila mak telefon sambil menangis dan beritahu yang saya akhirnya dapat status penduduk tetap,” kata Encik Ricqo, yang menerima berita baik itu pada November 2024.
Semasa menerima panggilan tersebut, Encik Ricqo berkata beliau sedang bekerja. Tidak sangka panggilan telefon itu bakal merubah hidupnya.
“Ingatkan ada perkara buruk berlaku sebab suara mak saya macam cemas. Tapi dia kemudian cakap ‘Ricqo, kau dapat PR (penduduk tetap)’.
“Pada masa itu saya terkedu, saya cubit diri sendiri sebab rasa macam bermimpi,” luahnya, yang bekerja mengemas rumah orang ketika itu.
Sejak lahir, Encik Ricqo hidup dalam ketidakpastian. Beliau tidak mempunyai sijil kelahiran, tidak bersekolah dan tidak diiktiraf sebagai rakyat mana-mana negara.
Akibatnya, serba serbi kehidupannya terbatas.
Beliau tidak boleh membuka akaun bank, tidak boleh bekerja secara rasmi, dan tidak memiliki pasport untuk ke luar negara.
“Saya lihat kawan-kawan buat pasport, rancang percutian, bercakap tentang tempat-tempat menarik. Saya hanya mampu dengar. Saya selalu tertanya-tanya... bila giliran saya?”
Tanpa pendidikan formal, mencari kerja juga menjadi cabaran besar.
“Saya memang tak pernah masuk sekolah. Saya belajar membaca sendiri, baca sari kata, tanya kawan. Tapi nak dapat kerja tetap tanpa kad pengenalan (IC), memang susah.”
Bertahun-tahun beliau melakukan kerja sambilan, mengangkat barang, mengambil upah kecil-kecilan tanpa jaminan pekerjaan yang stabil.
Tetapi segalanya mula berubah apabila kisahnya diketengahkan di dada akhbar di kededua The Straits Times dan Berita Harian.
Seorang majikan memberinya peluang pekerjaan. Itu juga kali pertama dalam hidupnya beliau mempunyai pendapatan yang stabil dengan tugas baru sebagai penyambut tamu.
Perkembangan positif dalam hidupnya itu dialu-alu Encik Ricqo yang terpaksa berdepan dengan kata-kata yang melukakan sejak bertahun lamanya.
“Orang pernah kata pada saya, ‘Kau ini pendatang haram, kau ini spesies apa, kau ini tak ada masa depan’. Ada yang sampai cakap, ‘Saya tidak boleh hidup dengan orang tanpa masa depan’,” luahnya sambil menahan rasa sebak.
Kata-kata itu merobek semangatnya, tetapi beliau tidak membiarkan dirinya terus tenggelam dalam kekecewaan.
“Saya fikir saya ada kawan lain yang tidak menghina saya, dan saya ada keluarga yang menerima saya seadanya. Itu yang buat saya terus kuat.”
Kini, buat pertama kalinya, beliau dapat merasa sedikit kebebasan yang selama ini hanya impian.
“Sekarang saya boleh kerja, saya boleh melancong, saya rasa seperti saya wujud macam orang biasa. Sebelum ini saya rasa macam orang asing, macam alien.”
Walaupun bergelar penduduk tetap, satu persoalan terus bermain di fikirannya.
“Saya lahir di Singapura, tapi kenapa saya hanya dapat IC biru? Kenapa saya tidak boleh dapat IC merah jambu yang menunjuk saya warga Singapura seperti orang lain?”
Encik Ricqo dilahirkan di Hospital Besar Singapura (SGH).
Namun, beliau bersyukur. Raya tahun ini bukan sekadar perayaan, tetapi simbol permulaan baru dalam hidupnya.
Dengan pekerjaan yang stabil, kebebasan bergerak, dan yang paling penting, identiti yang diiktiraf, Encik Ricqo akhirnya dapat berasakan apa yang selama ini hanya impian.
“Sekarang saya boleh beli baju sendiri, boleh beri duit raya, boleh rancang perjalanan saya sendiri.
“Saya tak mahu lagi rasa seperti orang asing di tempat sendiri. Saya nak teruskan kehidupan dengan harapan, kerana saya tahu masa depan saya akhirnya bermula,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg